
Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL
KOTA BHARU: PAS menyifatkan rundingan perpaduan Islam dan Melayu dalam Muafakat Nasional (MN) masih terbuka luas walaupun Umno dilihat menolak pelawaan tersebut.
Timbalan Mursyidul Am PAS, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, PAS bertindak sebagai pendamai antara parti politik bagi memastikan teras Islam dan Melayu dapat diperkukuhkan.
Katanya, perdamaian antara parti terbabit mampu memperluaskan lagi pandangan tentang penyatuan ummah memandangkan masih ada pihak yang gagal memahami maksud dakwah.
“Perdamaian merupakan sesuatu yang baik, ruang untuk kita meluaskan pandangan tentang dakwah. Usaha itu penting memandangkan masih ada pihak yang belum memahami kehendak Islam.
“Usaha itu diakui berdepan kesukaran kerana masih ada pihak yang jahil tentang konsep perpaduan dalam Islam,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung PAS Kubang Kerian di sini hari ini.
Hadir sama Yang Dipertua PAS Kubang Kerian Abdul Rahman Yunus; Timbalan Yang Dipertua Dato’ Mumtaz Md Nawi, Naib Yang Dipertua Mohd Asri Mat Daud, Setiausaha Mohd Nuri Mat Yaakob dan Ketua Penerangan Saiful Adli Abu Bakar.
Ahmad yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, PAS tidak putus asa berusaha menyatukan ummah seperti dikehendaki agama Islam. – HARAKAHDAILY 22/7/2022




















