Bantuan bencana: Kelantan terima RM50.6 juta

Gambar fail.
- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Kerajaan Pusat menyalurkan bantuan sebanyak RM50.6 juta khusus untuk Kelantan berikutan kejadian bencana sepanjang tempoh Monsun Timur Laut (MTL) 2021/2022.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Mastura Mohd Yazid, berkata Kelantan adalah antara negeri yang menerima bantuan bencana MTL 2021/2022 yang secara keseluruhan setakat 8 Julai lalu adalah sebanyak RM887 juta.

- Advertisement -

Katanya, bantuan itu meliputi RM259 juta untuk Bantuan Wang Ihsan (BWI), RM487 juta untuk Bantuan Barangan Keperluan Asas (BBKA) dan RM141 juta untuk Bantuan Pembaikan Rumah (BPR) maksimum RM5,000.

“Kerajaan telah menyalurkan peruntukan BWI, termasuk Bantuan Kematian kepada kerajaan negeri serta BBKA dan BPR maksimum RM5,000 kepada Pejabat Pembangunan Negeri di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM) untuk disampaikan kepada mangsa yang layak,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) yang meminta Perdana Menteri menyatakan jumlah peruntukan bagi bantuan banjir yang telah disalurkan ke negeri-negeri yang terkesan bagi mangsa banjir MTL 2021/2022.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari

Sementara itu, Mastura berkata permohonan BWI perlu mendapat pengesahan daripada Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dan kemudiannya akan mengangkat senarai permohonan itu kepada kerajaan negeri sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).

Katanya, JPBN kemudian akan meneliti dan menyelaras semua permohonan BWI dari JPBD serta mengemukakan permohonan peruntukan untuk pertimbangan dan kelulusan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Tempoh masa yang diambil bagi agihan bantuan kepada mangsa bencana bergantung kepada perancangan yang ditetapkan oleh kerajaan negeri di negeri berkenaan. – HARAKAHDAILY 21/7/22

- Advertisement -