
DEWAN Ulamak PAS Pusat menyokong penuh langkah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menggubal satu akta berkaitan larangan merokok serta pemilikan barangan produk rokok kepada generasi muda yang lahir selepas tahun 2005. Tindakan tersebut merupakan langkah yang proaktif daripada KKM bagi mengurangkan prevalens perokok pada masa akan datang seterusnya melahirkan ‘generasi penamat’ kepada perokok dalam negara.
Aktiviti merokok sememangnya memberikan kesan yang tidak sihat kepada si perokok. Ironinya sejak sekian lama tiada tindakan bersepadu dilakukan terhadap dasar berkaitan dengan perokok dan isu ini berada dalam ‘untapped market’. Maka, tindakan memperkenalkan dasar bebas perokok bagi generasi yang lahir selepas 2005 dilihat rasional.
Pelbagai kajian dari dalam dan luar telah menunjukkan wujudnya perkaitan budaya merokok dengan penyalahgunaan dadah. Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) pernah mendedahkan 90 peratus kes penyalahgunaan dadah berpunca daripada aktiviti merokok khususnya kepada golongan yang baharu menginjak usia remaja.
Tambahan lagi, kajian City University of New York pula mendapati perokok mempunyai kecenderungan yang lebih banyak untuk terlibat dalam ‘substance use disorder’ (SUD). Sewajarnya kajian-kajian ini diambil perhatian serius kerana tindakan menghentikan budaya merokok secara langsung membantu mengurangkan prevalens kes penyalahgunaan dadah dalam negara.
Selain itu, strategi yang dikemukakan KKM itu turut memberikan jalan keluar terhadap golongan perokok pasif yang menerima impak lebih teruk berbanding perokok aktif. Malangnya, perokok pasif juga berhadapan dengan risiko penyakit kanser, hati, pernafasan selain berkaitan masalah serebrovaskular seperti strok.
Oleh itu, Dewan Ulamak PAS Pusat berpandangan penggubalan akta tersebut wajar disokong sepenuh hati oleh Ahli Parlimen di Dewan Rakyat mahupun Dewan Negara kelak. Selain itu, saya turut menggesa Kerajaan memperhebatkan kempen bahaya merokok di media sosial dan elektronik bagi menyemarakkan penyampaian mesej mengenainya.
YB SENATOR USTAZ DATO’ AHMAD YAHYA
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 21/7/2022











