Ramasamy patut dengar syarahan, baca buku Presiden PAS

- Advertisement -

PUAS hati! Sarat dengan ilmu dan melimpah dengan hujahan akademik serta fakta sejarah.

Itu yang paling tepat boleh disimpulkan daripada ucapan penuh bermanfaat pada Syarahan Perdana Ulamak Negarawan oleh Presiden PAS, Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang juga Wakil Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah di The Everly Hotel, Putrajaya, semalam.

Kupasan ilmiah sebeginilah yang sepatutnya pemimpin DAP, P Ramasamy dengar dan hadam sebelum sewenang-wenangnya mengulas mengenai hal ehwal berkaitan Islam atau Melayu mahupun tokoh berkaitan.

Minda Presiden PAS yang sering menulis pandangan-pandangan antarabangsa serta kaedah pengurusan politik Islam yang tuntas, juga amat perlu dicermati oleh Ramasamy.

Barulah nanti segala percakapan dan buah butir bicara yang keluar di bibir pimpinan DAP akan berpijak di bumi yang nyata, berhati-hati serta mendapat pertimbangan adil.

Kalau segala perkara mengenai Islam dilihat dalam kacamata Cauvinis kepartian, agama atau kebangsaan, maka akan pincanglah setiap pandangan dan pemikiran kalian terhadap Islam.

Tapi pincang sahaja tidak apa lagi, sebaliknya yang selalu terjadi adalah ia akan mengheret pula polemik kebencian, salah faham dan meluaskan jurang perkauman dalam negara.

Islam untuk semua

Islam bukanlah agama kampungan atau ajaran yang baharu wujud kini. Dalam segmen ekonomi misalnya, di saat Barat masih tergapai gapai dan kekaburan menguruskan ekonomi negara mereka, Islam telah terkehadapan.

Sebagaimana isi syarahan tersebut, Tuan Guru Abdul Hadi ana menyentuh mengenai pentadbiran Khalifah Umar al-Khattab RA di mana satu pembaharuan penting telah diadakan antaranya Takhsimul ‘Ata’ iaitu penetapan elaun secara sistematik.

Jelas Tuan Guru, dengan wilayah negara Islam semakin luas ketika itu, perolehan hasil negara juga menjadi sangat banyak. Lalu diwujud sistem kewangan dan tangga gaji di mana sistem ini didaftarkan pendapatan dan perbelanjaannya dipanggil Tadwinud Dawawir.

Jangan kata Barat, bahkan semua negara bangsa akhirnya menerima sistem pengurusan sebegitu. Negeri DAP pun guna. Itulah dia Islam yang diturunkan di negara yang kering-kontang, tetapi akhirnya mampu membina tamadun dunia.

Perjuangan Mat Kilau berteras Islam

Jika Ramasamy fahami hal ini, dia tak akan lihat perjuangan Islam di tanah air, khasnya pejuang Melayu-Islam seperti Mat Kilau dari sudut sempit lagi negatif.

Beliau tidak akan berani menyatakan Mat Kilau sebagai pemimpin petani yang bangkit memberontak atau tak puas hati semata-mata kepada British sebab isu tadbir urus kewangan di zaman itu.

Politik dan pengurusan rakyat serta ekonomi difahami sebaiknya oleh Mat Kilau dan seluruh pemimpin Melayu pada waktu itu. Maka ‘kepahlawanan Mat Kilau’ adalah satu perjuangan mengangkat kembali martabat bangsa, umat, agama dan tanah air.

Bukan sebab soal ‘isi perut’ atau nafsu kebendaan seperti difahami secara dangkal oleh Ramasamy!

Cuba melenyapkan Islam

Sebaliknya British di satu sudut, datang ke negara dan rantau ini dengan cubaan untuk melenyapkan amalan Islami termasuk struktur pemerintahan serta tadbir urus kewangan berasaskan Islam yang telah sedia wujud di masa itu.

Inilah titik punca perpaduan dan kebangkitan pahlawan-pahlawan silam lainnya yang mungkin Ramasamy turut hafal sejarah negara ini sebagai warganegara Malaysia kan?

Ia kebangkitan penuh nilai ketinggian martabatnya kerana memperjuang untuk suatu keadilan yang dirampas oleh penjajahan British yang menakluk dan menzalimi di mana mesti ditegakkan semula walaupun darah dan nyawa menjadi taruhan.

Motif politik DAP

Ia jauh berbeza dengan tanggapan dan persepsi serta emosi demonstrasi jalanan yang sering dilaungkan atau ‘ditaja’ DAP di mana turut dibayangi untuk meraih undi.

Walaupun sudah mendapat titah Baginda Sultan akan tiadanya apa-apa keperluan untuk turun ke jalan raya, tetapi sebahagian mereka sanggup ‘sembah derhaka’.

Mereka turun juga ke jalanan. Ia amat memalukan dan dilihat menyanggah nasihat murni istana.

Atas sebab itulah, kita sarankan pimpinan DAP supaya hadir dan dengar jugalah pandangan serta syarahan ulamak Islam khasnya daripada Presiden PAS sendiri.

Dari situ akan terbitlah perbincangan, wacana, perdebatan bahkan persaingan politik yang adil, matang dan bijaksana.

NAZMAN CHE IBERAHIM
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 18/7/2022

- Advertisement -
- Advertisement -