KASA sahkan kolam takungan punca banjir kepala air di Baling

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) mengesahkan kolam takungan di Gunung Inas, Baling, Kedah menjadi punca insiden banjir dan kepala air membabitkan beberapa kampung di daerah berkenaan.

Menterinya, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kajian peringkat awal KASA mendapati terdapat sebuah kolam takungan yang dibina di lokasi projek tanaman Musang King di puncak gunung berkenaan, pecah.

- Advertisement -

“Kadar hujan yang turun, tidaklah terlalu lebat. Kajian mendapati kadar hujan hanyalah sekitar 36 milimeter hingga 40 milimeter sahaja.

“Jadi, ia mungkin berpunca daripada kolam takungan yang dibina di atas kawasan pertanian tersebut yang mungkin pecah,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan RSN Rayer (PH-Jelutong) mengenai situasi banjir di Gunung Inas, Baling, pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Susulan kejadian itu kata Tuan Ibrahim, kerajaan meluluskan segera enam projek membabitkan pembinaan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Baling Fasa satu dan dua dengan peruntukan RM175 juta.

Katanya, kerajaan juga akan membina dua struktur sabo dengan peruntukan RM20 juta selain kerja mendalamkan sungai, membina benteng dan pembaikan jambatan dengan RM6 juta. – HARAKAHDAILY 18/7/2022

- Advertisement -