Ulu Muda akan kekal dipelihara untuk sumber air

- Advertisement -

SIK: Kawasan Ulu Muda akan terus dipertahankan dan dipulihara kelestarian alam semulajadinya sebagai sumber air untuk pengairan pertanian dan perbekalan air yang penting di Wilayah Utara Semenanjung.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, kawasan itu yang meliputi Empangan Muda dan Tasik Gubir masih terpelihara dari penerokaan pembangunan.

“Kerajaan Negeri Kedah yang dipimpin Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor amat komited memastikan kawasan ini terus terjaga demi kepentingan bersama bukan sahaja Kedah, tetapi juga Perlis dan Pulau Pinang.

“Di sinilah ulunya yang menjadi sumber air bukan sahaja untuk 100,605 hektar tanah sawah MADA, tetapi juga bekalan air untuk Pulau Pinang yang mengalir melalui Sungai Muda,” ujar beliau.

Jelasnya, komitmen untuk kelangsungan pemeliharaan itu bahkan turut didukung agensi-agensi lain yang bersama menjaga kepentingan kawasan ini untuk terus kekal kesemulajadiannya.

Agensi-agensi tersebut senarainya termasuk Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK), Jabatan Perikanan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta Pejabat Tanah dan Galian (PTG).

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sik berkata demikian ketika merakamkan penghargaan kepada Ahli Jawatankuasa Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar (LATAS) PAS Pusat atas kunjungan ke negeri ini.

LATAS mengadakan tinjauan lapangan dan menerima taklimat agensi-agensi sempena lawatan kerja rasmi selama dua hari di Pulau Pinang dan Kedah serta mesyuarat bulanan.

Semalam, mereka turun ke Sungai Kereh, Tasek Gelugor sebelum ke MADA Pendang dan hari ini ke Empangan Muda serta melihat ternakan kelulut madu dan landak raya di Kampung Kota Aur, di sini. 

Menurut Ahmad Tarmizi, kajian alam semulajadi dilakukan pelbagai pihak serta kewujudan banyak spesis haiwan liar, ikan dan burung tempatan serta burung hijrah menjadi bukti pemeliharaan tersebut.

Pengerusi LATAS PAS Pusat, Dr Azman Ibrahim semalam mengingatkan Pulau Pinang bahawa sumber bekalan air negeri itu amat bergantung kepada Sungai Muda yang berpunca dari kawasan Ulu Muda.

Tetapi kesali beliau, Pulau Pinang tidak menjaga sungainya sendiri sebagaimana Sungai Kereh yang mengalami pencemaran air dan bau teruk disebabkan pembuangan najis ternakan babi terus ke sungai itu. – HARAKAHDAILY 16/7/2022

- Advertisement -
- Advertisement -