Tanpa Sg Muda, tiada sumber bekalan air untuk P Pinang

- Advertisement -

TASEK GELUGOR: Pulau Pinang perlu menyedari bahawa tanpa air dari Sungai Muda yang berpunca dari kawasan tadahan di Ulu Muda Kedah, maka negeri kecil itu tidak akan mempunyai sumber untuk bekalan air bersih.

Pengerusi Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar (LATAS) PAS Pusat, Dr Azman Ibrahim berkata, malangnya sungai-sungai di dalam negeri ini sendiri tidak dijaga, bahkan dicemari dengan teruk hingga ia tidak boleh digunakan.

“Lihatlah, ini salah satu sungai di Pulau Pinang yang tercemar teruk akibat najis babi. Sungai Kereh di Tasik Gelugor ini menjadi mangsa pencemaran sejak lebih 40 tahun lalu. 

“Ada 77 lot ladang ternakan babi di Kampung Selamat Kepala Batas yang menternak lebih kurang 135,000 ekor babi dan melepaskan terus najis babi ke parit dan mengalir ke sungai tanpa tapisan. 

“Warga Tasik Gelugor menerima tempias impak yang paling teruk,” ujar beliau mengadakan tinjauan lapangan bersama Ahli Jawatankuasa LATAS, di sini pagi tadi.

Menurut beliau, sungai tercemar menjejaskan pesawah padi dan nelayan darat yang menjadikan sungai sebagai sumber rezeki mereka di mana pencemaran bau sangat busuk turut terpaksa dihidu penduduk.

“Saya berada di sini bukan langgar sempadan negeri atau campur tepi kain orang, tapi melaksanakan tugas sebagai Pengerusi LATAS PAS Pusat,” beritahu beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Terengganu.

Terdahulu beliau menerima taklimat disampaikan pihak LATAS PAS Negeri Pulau Pinang di Pejabat Perhubungan PAS Pulau Pinang di Alor Pongsu, Kepala Batas sebelum bersama-sama melihat sendiri keadaan tersebut.

Isu pencemaran Sungai Kereh ini sudah dibangkitkan banyak pihak, namun sehingga kini pihak pemerintah Pulau Pinang bagaikan ‘pekak badak’ dan dilihat seperti melindungi kepentingan penternak haiwan tersebut.

Tetapi, akibat daripada itu, pencemaran air dan bau telah menimbulkan rasa kurang senang warga penduduk termasuk para pesawah dan nelayan sungai yang rata-ratanya adalah kaum Melayu. – HARAKAHDAILY 15/7/2022

- Advertisement -
- Advertisement -