YADIM tangkis penghinaan Islam di media sosial

Yang Dipertua YADIM, Ustaz Nasrudin Hassan
- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

PUTRAJAYA: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) akan memperkasakan peranan sebagai penangkis terhadap penghinaan dan serangan pemikiran yang dihalakan kepada Islam di media sosial melalui penubuhan Skuad Pendakwah Alam Siber.

Yang Dipertua YADIM, Ustaz Nasrudin Hassan, berkata gejala itu itu akan ditangani dengan menggunakan segala keupayaan yang ada.

- Advertisement -

Katanya, terdapat hampir 10,000 sukarelawan YADIM di seluruh negara yang akan membolehkan penubuhan satu lagi skuad, iaitu Skuad Pendakwah Alam Siber yang akan menjawab semua kenyataan dan tulisan yang mempersendakan Islam di media sosial.

“Saya lihat mutakhir ini, begitu berleluasa serangan terhadap Islam dengan cara mempersendakan dan mempermainkan Islam.

“Namun, tidak ada orang menjawab secara strategik dan terancang. Masing-masing atas kapasiti individu yang mungkin ada kesedaran, maka mereka menulis dan menjawab,” katanya ketika sidang media pada Majlis Penghargaan dan Ramah Mesra YADIM Bersama Rakan Media di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh serta wakil lebih 20 agensi media meliputi stesen televisyen, radio, portal dan cetak.

Nasrudin berkata, skuad itu yang akan ditubuhkan secepat mungkin akan memantau gejala negatif terhadap Islam di media sosial dan meminta bantuan rakan media untuk memaklumkan jika mempunyai maklumat bagi membolehkan sebarang isu ditangani secara baik dan hikmah.

Sementara itu, katanya YADIM berhasrat menemui Siti Amira Natasha Abdullah yang didakwa menghina Islam ketika membuat persembahan di sebuah kelab komedi di Kuala Lumpur bagi memberi penjelasan mengenai Islam yang sebenar.

Namun, Nasrudin menegaskan bahawa wanita itu sepatutnya tahu tindakan yang dilakukannya adalah suatu kesalahan yang amat besar dalam Islam dan berharap dengan pertemuan itu mampu membawa individu itu ke pangkal jalan.

“Apa yang berlaku adalah satu episod malang kepada sebuah negara yang bertamadun dan tidak seharusnya umat Islam sendiri menghina agama yang mereka anuti.

“Ini satu perkara yang mengecewakan dan memalukan. Oleh itu, kami sebagai kapasiti dakwah di Malaysia bercadang untuk menemui wanita berkenaan supaya dapat memberikan penjelasan mengenai Islam yang sebenar,” katanya.

Mengulas program hari ini, katanya ia bertujuan membina hubungan lebih erat dengan media massa kerana teras utama YADIM ialah untuk menyampaikan risalah Islam kepada masyarakat atau dakwah Islamiah.

Katanya, dakwah tidak akan sampai kepada masyarakat jika tidak ada pihak yang memanjangkan kepada masyarakat.

“Tentu sahaja keupayaan yang ada pada YADIM terbatas dan ini boleh disempurnakan oleh media massa dengan menyampaikan maklumat kepada masyarakat,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/7/22

- Advertisement -