
MARAN: Pengorbanan yang telah diberikan oleh ahli PAS sejak dahulu hingga kini adalah tonggak kejayaan parti ini dalam perjuangannya memartabatkan Islam di negara ini menerusi wadah siyasah, dakwah dan tarbiyah.
Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang, Ustaz Rosli Abdul Jabar menegaskan demikian ketika berucap dalam Ijtimak Tarbawi bulanan PAS Kawasan Maran di Markaz Al-Khidmat, Pusat Tarbiyyah PAS Maran, Kampung Embun di sini, semalam.
“Selepas beriman yang menjadi syarat pertama kemenangan sebagaimana digariskan oleh Allah SWT, maka pengorbanan harta dan jiwa menjadi rantaian yang tidak boleh dipisahkan dalam perjuangan Islam ini.
“Pengorbanan masa dan harta, malah jiwa oleh pejuang-pejuang terdahulu sangat tinggi dan kini mereka semuanya telah pergi (meninggal dunia), tanpa berharap apa-apa habuan dan keuntungan dunia.
“Hanya yang mereka harapkan ialah mati dalam perjuangan Islam yang mana pahalanya sangat besar di sisi Allah. Walaupun sesekali ada rasa penat atau sudah tua dalam perjuangan, namun jangan sesekali kita rasa lemah.
“Atau merasa hilang semangat untuk terus berkorban masa, tenaga dan harta sampai akhir hayat kita tetap bersama dengan perjuangan ini,” kata beliau yang juga ADUN Tanjung Lumpur.
Dalam majlis tersebut juga, Ustaz Rosli turut menyeru seluruh ahli PAS dalam negeri Pahang supaya hadir ke Himpunan Hijau (H20K) anjuran PAS Pahang di Pantai Sepat, Kuantan pada 31 Julai ini.
“Saya meminta semua ahli PAS Pahang kosongkan tarikh tersebut dengan program-program lain, masing-masing kena berazam hadir bersama-sama ahli keluarga ke himpunan H20K nanti. Kita penuhi segenap ruang dan penjuru yang ada pada hari itu.
“Himpunan besar-besaran ini memang menjadi program kita sejak dahulu lagi. Kita pernah adakan Himpunan Hijau H4K dan kemudian H12K dan semuanya mencapai sasaran. Ahli kita pun ada yang merungut sudah lama tidak ada kan himpunan besar-besaran.
“Jadi saya ambil kesempatan ini menyeru kita hadir beramai-ramai sekali gus menyuntik semangat kepada petugas parti untuk menghadapi pilihanraya umum bakal diadakan tidak lama lagi.
“Bermula malam ini setiap PAS Kawasan hendaklah membuat promosi besar-besaran menyeru semua termasuk masyarakat yang bukan ahli supaya turut hadir juga ke H20K nanti,” ujarnya lagi.
Dalam ijtima tarbawi tersebut juga, turut diadakan kutipan derma kilat untuk mangsa bencana banjir kepala air di Baling Kedah.
Sejumlah RM4,080 derma telah berjaya dikumpulkan dan diserahkan kepada Ustaz Rosli yang akan ke Baling sejurus program ijtima tarbawi itu selesai dan akan disalurkan pula kepada mangsa-mangsa banjir kepala air di sana.
Turut hadir sama dalam program tersebut ialah Yang Dipertua PAS Maran, Ustaz Ramli Awang Abdul Rahman dan Timbalan Yang Dipertua PAS Maran, Ustaz Mujibur Rahman Ishak, merangkap ADUN Chenor serta Naib Yang Dipertua PAS Maran, Mohd Sofian Abdul Jalil, merangkap ADUN Luit. – HARAKAHDAILY 15/7/2022
























