Atasi Vietnam bukan kerana nasib

Barisan pemain dan pengurusan pasukan Malaysia sebelum berdepan Vietnam
- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

Pemain Malaysia ketika perlawanan separuh akhir, bermain dengan penuh kesungguhan, mempamerkan disiplin yang amat tinggi serta mengikut taktikal yang dirancang barisan kejurulatihan.

Pengurus Pasukan B-19 Kebangsaan, Mohd Joehari Ayub, merumuskan formula yang membawa skuad Harimau Muda menjejakkan kaki ke pentas final berdepan Laos, esok.

- Advertisement -

Dalam perlawanan malam tadi, katanya pasukan negara berjaya menewaskan pasukan pilihan kejohanan, Vietnam dengan jaringan 3-0.

“Tahniah kepada pemain serta barisan kejurulatihan dan pegawai pasukan Harimau Malaya B-19 kerana berjaya mara ke final Kejuaraan B-19 AFF 2022.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, serta kepimpinan tertinggi FAM atas peluang dan tanggungjawab yang telah diberikan ini,” katanya dalam kenyataan media menerusi laman Facebook FAM, hari ini.

Mohd Joehari berkata, sokongan Presiden FAM yang tidak berbelah bahagi terhadap pasukan memberi semangat yang kuat kepada pemain dan pasukan.

Pemain Malaysia melakar kejutan menewaskan Vietnam

Beliau juga menghargai dan berterima kasih kepada semua pemilik dan presiden kelab serta pasukan dalam Liga Malaysia yang sentiasa memberi sokongan dan kerjasama melepaskan pemain muda terbaik menyertai kejuaraan ini walaupun tidak termasuk dalam kalendar perlawanan antarabangsa FIFA.

Selain itu, katanya Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sentiasa memberi sokongan kepada bola sepak negara.

“Kami masih ada lagi satu misi yang perlu diselesaikan pada aksi final menentang Laos esok. Berkat sokongan dan doa rakyat Malaysia, insyaAllah ia akan mengiringi kejayaan pasukan ini. Demi Malaysia! Demi lencana di dada!” katanya. – HARAKAHDAILY 14/7/22

- Advertisement -