Siasatan terperinci kes jemaah haji terkandas

- Advertisement -

SAYA mengambil maklum berkenaan isu bakal jemaah haji yang terkandas di KLIA dan Hotel Movenpick KLIA melibatkan hampir 400 orang. Saya juga telah dimaklumkan beberapa laporan polis telah dibuat terhadap perkara ini dan tindakan pihak berkuasa juga telah dimulakan bagi proses siasatan. 

Saya melahirkan rasa kecewa mengenai insiden yang tidak sepatutnya berlaku apatah lagi ianya melibatkan urusan Rukun Islam yang perlu dipandang berat oleh semua umat Islam, termasuklah pihak agensi yang menguruskan jemaah haji. 

Saya juga meminta siasatan terperinci dapat dilakukan oleh pihak berkuasa. Sekiranya terdapat sebarang unsur penipuan, pihak yang terbabit perlulah dibawa ke muka pengadilan dan diberikan hukuman yang setimpal. Ia sebagai pengajaran kepada semua pihak agar tidak berulang lagi kes sedemikian.

Saya meminta agar rakyat Malaysia terutamanya umat Islam perlu berwaspada dan berhati-hati dalam kes seperti ini dan sentiasa mendapatkan nasihat yang tepat daripada pihak Tabung Haji walaupun menggunakan khidmat agensi luar untuk mengerjakan haji.

Saya memohon kepada pihak yang teraniaya dan seluruh keluarga yang terlibat agar tabah dan terus mengambil peluang pada Hari Arafah untuk bermunajat dan memanjatkan doa bagi mendapatkan keredaan Allah, walaupun tidak dapat hadir menunaikan haji di Tanah Suci Makkah. 

Sekian.

YB SENATOR DATUK USTAZ IDRIS AHMAD
8 Julai 2022
Makkah Al-Mukarramah – HARAKAHDAILY 8/7/2022

- Advertisement -
- Advertisement -