Bekas PM Jepun ditembak

Bekas Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe.
- Advertisement -

Susunan ZIAUDDIN SHARUDDIN

TOKYO: Bekas Perdana Menteri (PM) Jepun, Shinzo Abe, dibawa ke hospital hari ini, selepas dipercayai ditembak dari belakang oleh seorang lelaki dengan senapang patah ketika berkempen di Nara.

Berikutan tembakan itu, Abe, 67, rebah dan cedera di leher, sumber Parti Liberal Demokratik (LDP) memberitahu agensi berita Jiji.

- Advertisement -

Abe kelihatan dalam keadaan ‘cardo-respiratory arrest’ (fungsi jantung dan pernafasan terhenti), lapor rangkaian televisyen NHK dan agensi berita Kyodo.

Tembakan kedengaran dan kepulan asap putih dilihat ketika Abe berucap di luar stesen kereta api.

Seorang wartawan NHK di tempat kejadian berkata, mereka boleh mendengar dua bunyi letupan berturut-turut ketika kejadian itu.

Mengikut NHK yang memetik sumber polis, polis menahan seorang lelaki berusia lingkungan 40-an atas cubaan membunuh dan merampas sepucuk pistol.

Suasana kelam kabut selepas Shinzo Abe ditembak
Anggota polis bergelut dengan seorang lelaki yang dipercayai menembak Shinzo Abe

Ketua Setiausaha Kabinet akan memberi taklimat kepada media pada hari ini.

Abe berkhidmat selama dua penggal untuk menjadi PM paling lama di Jepun, iaitu pada 2006 selama satu tahun dan sekali lagi antara 2012 hingga 2020.

Bagaimanapun, beliau mengekalkan kehadirannya yang dominan dalam parti pemerintah, Parti Liberal Demokratik (LDP).

Anak didiknya, PM Fumio Kishida, menghadapi pilihan raya Dewan Perwakilan Ahad ini, yang penganalisis berkata, Kishida berharap untuk keluar dari bayang-bayang Abe dan menyerlahkan kepemimpinannya. – HARAKAHDAILY 8/7/22

- Advertisement -