
KOTA BHARU: Tindak tanduk sesetengah bekas pemimpin PAS yang keluar daripada parti itu dianggap lebih teruk daripada mereka yang belum pernah menyertai PAS.
Ketua Penerangan PAS Kelantan, Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, individu terbabit ketika berada bersama PAS mengumpul maklumat berkaitan kerajaan negeri.
Katanya, selepas keluar dari PAS mereka mengolahkan semula maklumat tersebut dengan memberi gambaran pada posisi negatif.
“Individu terbabit boleh melakukan apa sahaja atas nama kebebasan bersuara, namun malangnya maklumat yang didedah banyak yang tersasar dan tidak munasabah.
“Kita jawab balik tuduhan mereka secara berfakta untuk dinilai oleh rakyat terhadap sentimen yang dicetus golongan terbabit,” katanya pada program Jelajah Penerangan PAS Pusat di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan, malam tadi.
Hadir sama Ketua Penerangan PAS Pusat Senator Ir Ts Khairil Nizam Khiruddin, Setiausaha Jabatan Penerangan PAS Pusat, Mohd Faisal Md Fuad dan Timbalan Ketua Penerangan PAS Kelantan Ahmad Fathan Mahmood.
Program tersebut bermula solat Maghrib dihadiri ahli jawatankuasa Lajnah Penerangan dan Media Baharu PAS Kelantan serta jawatankuasa penerangan Dewan Ulama, Dewan Muslimat, Dewan Pemuda dan Dewan Himpunan Pendukung PAS.
Kebelakangan ini bekas Adun Salor Dato’ Husam Musa yang juga Ketua Amanah Kota Bharu sering melempar pelbagai tuduhan terhadap PAS dan kerajaan negeri.
Ekoran tindakan pemimpin pembangkang terbabit dia turut berdepan tuntutan saman dakwaan fitnah sebanyak RM60 juta berkaitan isu pembalakan di Gua Musang.
Mohd Nassuruddin yang juga anggota Exco Kerajaan Negeri berkata, pihak yang sering meleparkan pelbagai dakwaan terhadap PAS dan kerajaan negeri sering muncul setiap kali menjelang pilihan raya umum (PRU) dan tenggelam selepas PRU berlalu.
Kata beliau setiap lima tahun sekali muncul individu yang berlagak seperti itu kemudian hilang selepas PRU berlalu.

Sementara itu Ir Khairil Nizam berkata, PAS mengetengah gagasan kestabilan politik sejak lama dahulu bagi melahirkan masyarakat yang matang dan sejahtera.
“Saya sering sebut tentang keperluan kestabilan politik ketika menerajui Dewan Pemuda PAS Malaysia dan diteruskan sehingga sekarang selepas dilantik sebagai Ketua Penerangan PAS Pusat,” ujarnya.
Bagaimanapun katanya idea tersebut sekarang cuba dijuarai parti tertentu sebagai usaha menarik sokongan rakyat. – HARAKAHDAILY 8/7/2022




















