
Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL
PASIR PUTEH: Rakyat Kelantan khususnya penduduk tempatan perlu merebut peluang terhadap usaha kerajaan menjadikan Tok Bali sebagai bandar baharu perikanan dan pelancongan.
Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, rakyat di Pasir Puteh perlu mengambil kesempatan terhadap peluang yang akan disediakan di Tok Bali.
Katanya, Tok Bali dijangka membangun lebih pesat melalui pelbagai usaha dilakukan kerajaan termasuk insentif cukai bagi menarik lebih ramai pelabur ke kawasan tersebut.
“Insentif diberi kerajaan akan dinikmati pelabur termasuk pengecualian cukai pendapatan sebanyak 100 peratus selama 15 tahun dan kadar istimewa 17 peratus lima tahun seterusnya.
“Insentif tersebut merupakan galakan dan daya tarikan pelabur untuk merancakkan lagi kegiatan ekonomi berimpak tinggi di Tok Bali,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Dataran Bahtera Tok Bali di sini hari ini.
Program tersebut diadakan sempena program permukiman Menteri Besar di jajahan Pasir Puteh.
Pembinaan monumen bahtera itu bermula pada Mei 2021 di kawasan seluas 1.2 ekar bakal menjadi mercu tanda Tok Bali yang merupakan bandar pelancongan dan perikanan di Kelantan. – HARAKAHDAILY 9/6/2022




















