
Susunan ZULHAIDI MANSOR
RAMALLAH: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengesahkan bahawa penjajahan dan diskriminasi Israel masing-masing terhadap tanah dan rakyat Palestin adalah punca utama siri keganasan berterusan yang berlaku di Palestin.
Menurut laporan PBB, pasukan penyiasat yang dilantik pada tahun lepas oleh Majlis Hak Asasi Manusia pertubuhan global untuk meneliti semua punca utama konflik Israel-Palestin itu menjelaskan bahawa Israel sememangnya langsung tidak berniat menamatkan penjajahan di tanah Palestin.
Bekas Ketua Hak Asasi PBB dari Afrika Selatan, Navi Pillay berkata, sebahagian besar cadangan PBB tidak dilaksanakan Israel ditambah dengan rasa bebas daripada hukuman, yang menunjukkan bukti jelas bahawa Israel tidak berniat untuk menamatkan pencerobohan dan diskriminasi berterusan terhadap rakyat Palestin.
Bagaimanapun, laporan setebal 18 muka surat itu menyimpulkan bahawa menamatkan penjajahan Israel di bumi Palestin sahaja tidak akan mencukupi dan mendesak tindakan tambahan untuk memastikan hak asasi manusia diterapkan secara sama rata.
“Undang-undang Israel yang menafikan penaturalisasian kepada rakyat Palestin yang berkahwin dengan warga Israel adalah contoh Israel memberikan status sivil, ‘hak dan perlindungan undang-undang yang berbeza’ kepada minoriti Arab,” ujar kenyataan dalam laporan tersebut.

Sementara itu, jurucakap Pihak Brkuasa Palestin, Ibrahim Melhem berkata, beliau mengalu-alukan sebarang siasatan dan laporan antarabangsa yang mengutuk Israel dan menuntut hukuman dikenakan kepada Israel.
Beliau menegaskan, pihaknya telah menggesa PBB meminta Israel bertanggungjawab terhadap pencerobohan dan penjajahan di bumi Palestin, seterusnya mengenakan sekatan ke atas kekejaman zionis Israel yang berasa bebas melakukan apa sahaja kerana tidak dihukum atas jenayah yang telah dilakukan terhadap rakyat Palestin.
“Israel berasa bebas daripada hukuman, dan kekurangan pendakwaan dan akauntabiliti serta tidak mengenakan sekatan ke atasnya bermakna jenayah terhadap Palestin oleh zionis tidak akan pernah berakhir,” ujarnya.
Mustafa Barghouti dari Parti Inisiatif Nasional Palestin pula menegaskan bahawa laporan itu bermakna permulaan berakhirnya rejim apartheid Israel, kerana tidak mungkin lagi mana-mana penyokong Israel dapat mempertahankannya.

Dalam pada itu, seorang diplomat di Kementerian Luar Palestin, Ammar Hijazi berkata, laporan dan kenyataan tidak lagi mencukupi dalam menghadapi jenayah besar-besaran diskriminasi kaum Israel yang dilakukan terhadap rakyat Palestin, dan langkah praktikal yang berkesan mesti diambil untuk menamatkan ketidakadilan yang menimpa rakyat Palestin.
“Saya tidak mahu seribu laporan, tetapi satu langkah ke arah menghentikan penindasan dan menamatkan penjajahan Israel,” ujarnya.
Menurut Pengarah Al-Haq, Shawan Jabarin pula, mandat yang diberikan kepada mereka oleh Majlis Hak Asasi Manusia untuk menjadi jawatankuasa tetap yang mencari punca masalah dan bukan untuk tempoh tertentu adalah tiada tandingannya.
“Buat pertama kalinya, sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan yang misinya adalah untuk menyelidik pelanggaran dan diskriminasi kaum yang berlaku di dalam Israel. Ketiga-tiga ahli jawatankuasa itu mempunyai pengalaman panjang dalam menyelidik pelanggaran hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa di peringkat antarabangsa.
“Ini adalah laporan antarabangsa yang penting dan ia mewakili dan membentuk kemenangan moral bagi rakyat Palestin. Ia memberi tumpuan kepada ketiadaan akauntabiliti Israel atas jenayah yang dilakukannya terhadap rakyat Palestin.
“Laporan itu bukanlah penghujung jalan, dan jawatankuasa itu akan mempunyai peranan utama dalam memindahkan laporannya kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) ,” ujarnya kepada Arab News.

Terdahulu, Rakyat Palestin mengalu-alukan laporan pertubuhan antarabangsa yang menyokong dakwaan mereka terhadap diskriminasi kaum Israel terhadap mereka selama lebih lima dekad.
Pelapor khas PBB mengenai hak asasi manusia di Palestin, Michael Lynk membuat kesimpulan bahawa keadaan itu sama dengan apartheid.
Laporan Lynk yang telah diserahkan kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB dan diterbitkan oleh Amnesty International di laman webnya, meneliti situasi hak asasi manusia semasa dengan tumpuan khusus kepada persoalan apartheid.
Ia mendapati bahawa Yahudi Israel dan Palestin di wilayah yang dijajah hidup di bawah satu rejim yang membezakan pengagihan hak dan faedahnya berdasarkan identiti kebangsaan dan etnik, dan yang memastikan ketuanan satu kumpulan mengatasi, dan merugikan, yang lain.
Ia menyatakan bagaimana sistem ini memberikan satu kumpulan kaum-bangsa-etnik dengan hak, dan faedah.-HARAKAHDAILY 9/6/2022




















