
KUALA LUMPUR: Majlis Amal Islami Malaysia Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) akan mengetuai pertubuhan-petubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam untuk menghantar memorandum bantahan kepada Suruhanjaya Tinggi India di Malaysia, esok.
Perkara itu dinyatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad yang mempengerusikan Mesyuarat Post Cab Agensi Islam bersama ketua-ketua agensi di Kompleks Islam Putrajaya, pagi tadi.
Menurutnya, mesyuarat itu menyentuh isu berkaitan penghinaan ke atas Junjungan Rasulullah SAW oleh dua ahli Parlimen Parti Bharatiya Janata (BJP) India, tempoh hari.
“Insya-Allah, khutbah Jumaat di Masjid-masjid seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di seluruh Wilayah Persekutuan esok akan menyentuh topik berkaitan mempertahan dan mencintai Baginda Rasulullah SAW,” katanya menerusi laman Facebook beliau, hari ini.
Tambahnya, turut juga disentuh dalam mesyuarat itu mengenai pelaksanaan program-program semasa di peringkat agensi.
Beliau berkata, sepanjang bulan Mei lepas, sebanyak RM116.2 juta peruntukan bantuan Musa’adah telah diagihkan di seluruh negara membantu masyarakat yang memerlukan. – HARAKAHDAILY 9/6/2022




















