
SINGAPURA: Seramai 491,400 orang pengembara dari Singapura memasuki Malaysia menggunakan pusat pemeriksaan darat pada hujung minggu, mulai 29 April hingga 3 Mei.
Mengikut Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) Singapura, kebanyakan pengembara menggunakan kereta dengan 201,900 orang menggunakan kaedah pengangkutan ini.
Seramai 155,700 pengembara lagi menaiki bas, manakala 133,800 orang menggunakan motosikal.
“Sepanjang tempoh yang sama, seramai 462,400 orang pengembara tiba di Singapura dari Malaysia melalui pusat pemeriksaan darat,” kata ICA dalam satu kenyataan, semalam.
Minggu lalu, ICA memberi amaran berhubung jumlah pengembara yang tinggi melintasi sempadan darat pada hujung minggu yang panjang, yang menyaksikan Hari Pekerja pada 1 Mei serta Hari Raya Puasa pada 3 Mei di Singapura dan 2 Mei di Malaysia.
Ahad lalu, ICA menjangkakan kesesakan lalu lintas di pusat pemeriksaan berikutan orang ramai yang pulang ke Singapura “dalam beberapa hari akan datang”, selepas kira-kira 280,000 orang meninggalkan Singapura ke Malaysia pada Jumaat dan Sabtu.
Sempadan darat Singapura-Malaysia dibuka semula pada 1 April lalu, iaitu kali pertama dalam tempoh dua tahun dengan mereka yang menerima vaksin lengkap boleh melakukan perjalanan antara dua negara tanpa memerlukan kuarantin atau ujian Covid-19.
Ketika cuti hujung minggu sempena Good Friday pada bulan lalu, kira-kira 436,800 orang menggunakan pusat pemeriksaan darat. – CNA




















