
Oleh SYAHIRAH SALLEH
SEPANG: Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad menganggap maklumat palsu membabitkan dokumen kononnya PAS mahu menjatuhkan Barisan Nasional (BN) itu adalah sampah.
Menurutnya, hampir setiap minggu beliau menyertai mesyuarat parti sebagai pemimpin PAS, namun tidak sesekali PAS membincangkan mengenai parti lain.
“Nama pun PAS leak, jadi benda yang dapat itu rubbish, saya ini pimpinan tertinggi, yang mesyuarat boleh kata setiap minggu.
“Takdak pun kita nak bincang yang orang, kita bincang hak kita sahaja. Tak perlu (laporan polis), sampah, kita anggap sampah,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas selesai memberi ucapan Amanat Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama bersama Jawatankuasa Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di sini, petang tadi.

Sebelum ini, Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan PAS tidak terlibat dengan sebarang pendedahan dokumen ‘PAS leak’ dan menganggapnya sebagai ‘surat layang’ yang tidak perlu dilayan.
Dalam masa sama, Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar juga menafikan dokumen itu dan menganggapnya sebagai sampah.
Terdahulu, tular dokumen minit mesyuarat Perikatan Nasional mengenai pertemuan antara Ahmad Samsuri dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bersama beberapa pemimpin parti lain.
Antara pemimpin itu ialah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali diikuti Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad; Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. – HARAKAHDAILY 25/5/2022




















