
BAITULMAQDIS: Kerajaan Israel mengumumkan bahawa ia kekal ‘komited’ kepada status quo Masjid Al-Aqsa sebagai tempat ibadah sembahyang bagi umat Islam dan orang bukan Islam termasuk peneroka haram Yahudi hanya dibenarkan memasuki tapak suci itu sebagai pelawat.
Menteri Luar Israel, Yair Lapid mengeluarkan kenyataan tersebut pada Ahad (24 Apr) ketika mengulas status terkini masjid yang terletak di Baitulmaqdis Timur yang diduduki, di mana ratusan rakyat Palestin telah cedera dalam serbuan pasukan keselamatan Israel sejak dua minggu lalu.
“Umat Islam kekal untuk melakukan ibadah di Temple Mount (Al-Aqsa), orang bukan Islam hanya (dibenarkan) melawat,” dakwa Lapid pada sidang media yang menggunakan istilah Yahudi Temple Mount untuk Al-Aqsa.
Menurutnya lagi, tiada sebarang perubahan atau perancangan masa depan untuk membahagikan Al-Aqsa dari segi sebagai tempat ibadah mengikut anutan agama.
Mengikut tradisi selama ini, peneroka haram Yahudi hanya dibenarkan melawat di sekitar kompleks Al-Aqsa tetapi tidak dibenarkan bersolat di tapak suci itu.
Namun, kekacauan berlaku pada tahun ini, apabila bulan Ramadan bertepatan dengan Paskah Yahudi, yang mana peneroka haram Yahudi di bawah pengiring polis menuntut untuk memasuki pekarangan masjid untuk beribadat.

Tindakan itu menimbulkan kemarahan ramai rakyat Palestin, yang mana Al-Aqsa merupakan salah satu tempat perlindungan terakhir di Baitulmaqdis yang diduduki, sedangkan kawasan kejiranan Palestin sudah semakin banyak dirampas oleh peneroka haram Yahudi dengan sokongan pihak berkuasa Israel.
Sementara media Israel melaporkan, satu pertemuan peringkat tinggi antara pegawai kerajaan Israel dan Jordan bakal diadakan bagi membincangkan tentang Al-Aqsa selepas berakhirnya bulan suci Ramadan.
Jordan menguasai Baitulmaqdis Timur antara 1948 dan 1967 dan keluarga diraja Hashemite Jordan telah menjadi penjaga tapak suci di sektor yang diduduki sejak 1924. – The New Arab




















