Isu keselamatan murid: SRI Al-Ummah perlu bangunan sekolah baharu

Bangunan sekolah SRI Al-Ummah yang terletak di jalan raya yang sempit dan sibuk dengan kenderaan di Kampung Pandan Kuala Lumpur pada 20 April 2022. (FOTO SYAHIRAH SALLEH/HARAKAHDAILY)
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Bimbang keselamatan murid dipertaruhkan, pihak Sekolah Rendah Agama (SRI) Sri Al-Ummah, Kampung Pandan di sini berusaha mencari dana untuk membangunkan bangunan sekolah baharu yang lebih selamat.

Pengetuanya, Suridzal Abdul Rahim berkata, sekolah itu berada di laluan jalan raya yang sempit dan sibuk serta sesak dengan kenderaan yang lalu lalang.

- Advertisement -

Tinjauan HarakahDaily mendapati di sebelah jalan raya yang sempit itu pula ialah jalan raya yang besar dengan di bahagian atasnya sedang dibina Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE).

“Apabila Lebuhraya SUKE ini beroperasi kelak, sudah pasti akan berlaku bunyi bising dan menganggu fokus pembelajaran murid. Sekolah ini juga mempunyai masalah parkir kenderaan yang minima.

“Selain itu, masalah di sini adalah murid belajar dalam suasana kurang selesa disebabkan bangunan sedia ada sesak dan dipenuhi pelajar,” katanya semasa ditemui HarakahDaily yang dapat melihat sendiri keadaan dalam bilik-bilik darjah di sekolah berkenaan, yang hanya boleh memuatkan dua barisan meja-meja untuk murid.

Suasana di dalam bilik darjah di SRI Al-Ummah, Kampung Pandan yang sesak dengan murid. (FOTO SYAHIRAH SALLEH/HARAKAHDAILY)

Menurut Suridzal, pihak pengurusan sekolah juga kini membayar sewa bulanan sebanyak RM13,000 sebulan daripada jumlah operasi keseluruhan RM80,000 sebulan.

Katanya, walaupun mereka menggunakan bangunan kedai sebagai sekolah, namun aspek keselamatan bangunan amat dititik beratkan dan disahkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Sementara itu, guru, Siti Fatimah Fadzil turut menyatakan kebimbangannya terhadap keselamatan murid semasa waktu datang sekolah dan pulang ke rumah.

Katanya, pernah berlaku kes pelajar berlari untuk mendapatkan bas sekolah kerana bimbang ditinggalkan bas sehingga membahayakan diri.

Walaupun perkara tersebut dapat dielakkan dan pelajar itu selamat, katanya pihak sekolah mahu mengelakkan perkara tersebut di kemudian hari sebagai langkah waspada.

Siti Fatimah

“Sebenarnya di sini keselamatan pelajar agak membimbangkan, sebab sekolah betul-betul tepi jalan, kadang kita tak sempat untuk perhatikan pelajar sebab mereka berlari-lari keluar apabila habis waktu persekolahan dan kenderaan pula banyak ketika itu. 

“Pernah ada kes, pelajar lari untuk dapatkan bas sambil membawa kasut, dia tidak perasan ada kereta, nasib baik tiada apa berlaku, tetapi kita nak elakkan semua ini.

“Mungkin di bangunan baru, saya nampak keselamatan itu lebih terkawal, sebab di situ tidak banyak kenderaan keluar masuk,” katanya.

Selain itu, bekas pemandu bas sekolah, Abdul Wadud Kamaluddin,73, berkata, sepanjang kerjayanya membawa murid ke sekolah, dia dapat melihat lokasi di SRI Al-Ummah diakui semakin pesat membangun.

Katanya yang berpengalaman selama 18 tahun sebagai pemandu bas sekolah, 10 tahun lalu tidak banyak rumah kedai berdekatan disewa peniaga.

Tapak lokasi bari SRI Al-Ummah yang dikenali sebagai Darul Ummah yang juga terletak di Kampung Pandan. (FOTO ihsan SRI-Ummah)

Menurutnya, jika dahulu selepas jam 8 pagi jalan raya makin sesak, kini seawal jam 7 pagi kenderaan sudah mulai memenuhi jalan raya.

“Jalan dahulu tidak sesak begini, akhir-akhir ini saya perasan pada waktu pagi pun sesak, mungkin orang keluar kerja, sekolah lain pun ada di sini dan saya lihat banyak perubahan pesat dan menyebabkan kesesakan jalan raya. 

“Sekarang nampak, awal pagi pun jem juga, dan dijangka akan makin sibuk, rasa makin teruk sebab parking lagi, dulu kurang bangunan sini diisi, sekarang banyak pejabat-pejabat,” katanya.

Abdul Wadud

Tidak mahu terus meletakkan pelajar dalam situasi bahaya dan kurang selesa semasa berada di sekolah, SRI Al-Ummah kini pada peringkat awal membina bangunan baharu tidak jauh dari lokasi sekolah asal.

Lokasi baharu iaitu di Darul Ummah yang kini Markas PAS Titiwangsa, hanya berjarak 1.5km dari SRI Al-Ummah dan bakal dibina dengan anggaran kos awal RM3.5 juta.

Menurut Pengerusi SRI Al-Ummah, Hedzer Ibrahim, Pembangunan Darul Ummah (PADU) yang akan menempatkan hampir 300 pelajar SRI Al Ummah akan dibangunkan setinggi tiga tingkat dengan keluasan 9,000 persegi.

Katanya, bukan sahaja faktor ketidakselesaaan pelajar menjadi sebab utama PADU dibangunkan, namun kebajikan tenaga pengajar dan petugas di sekolah juga akan lebih baik dan terjaga.

“Keadaan di sekolah, pembangunan amat pesat, jalan raya yang sempit dan sibuk dengan berhampiran lebuh raya bertingkat SUKE, dengan bunyi bising, pengudaraan juga kurang baik untuk murid.

Keadaan di bahagian bilik darjah SRI Al-Ummah yang menempatkan ruang pembalajaran buat murid (FOTO SYAHIRAH SALLEH/HARAKAHDAILY)

“Kita tidak sanggup untuk melihat mereka hari-hari bertarung dengan keadaan yang tidak berapa selesa. Malah, kebajikan kaki tangan kita, guru dan kerani, kita mahu naikkan gaji mereka,” katanya.

Tambahnya, walaupun yuran bulanan bagi pelajar hanya RM200, pihak sekolah setakat ini masih mengekalkan jumlah itu kerana melihat kepada kepentingan untuk mendidik generasi akan datang dengan pendidikan Islam serta tarbiah menyeluruh di sekolah.

“Pendidikan Islam mesti diperluaskan bertujuan bukan orientasi perniagaan. Sebab itu, yurannya tidak terlalu tinggi supaya masyarakat sekitar mampu untuk menghantar anak-anak mereka belajar di sini,” katanya.

Suridzal

Tambah Hedzer yang juga Timbalan Yang Dipertua PAS Titiwangsa, sejak 30 tahun SRI Al-Ummah diasaskan, mereka melihat ibu bapa senang untuk menghantar anak-anak mereka secara berkesinambungan, malah katanya, terdapat alumni yang juga kini menghantar anak mereka ke sekolah berkenaan.

Menurutnya, itu memberi mesej SRI Al-Ummah diterima masyarakat serta ibu bapa berpuas hati sejak dahulu, malah sehingga kini masih menjadi pilihan masyarakat setempat.

Juster katanya, SRI Al-Ummah perlu dikembangkan dari aspek prasarana dan fasiliti untuk kemudahan pelajar lebih baik demi keselesaan pelajar.

“Jadi, sekolah ini tidak boleh duduk sini lagi, perlu dinaik taraf, sekarang dana untuk PADU ini, menjadi tanggungjawab kami yang besar untuk PAS Titiwangsa, PAS Lembah Pantai, dan PAS Bandar Tun Razak.

Hedzer

“Kami mesti rasa kesamaan kerana ini sekolah anak kami, dan sekarang ini tengah kumpul alumni SRI Al-Ummah untuk giatkan lagi kutipan dana, sebab mereka ini juga mahu sama membantu demi pembangunan Darul Ummah,” katanya.

Beliau juga yakin, model kejayaan perjuangan Islam itu perlu bermula daripada masyarakat yang berkembang dengan pondok dan pengajian.

“Atas kesedaran itu, lahirlah masyarakat yang faham Islam dan sedar tanggungjawab mereka dalam memilih pemimpin yang baik dan bertanggungjawab,” katanya.

Sebarang pertanyaan boleh terus hubungi Hedzer melalui [email protected] atau di talian +019-270 8639 dan sumbangan disalurkan melalui Bank Islam Sekolah Rendah Agama Sri Al-Ummah 1403 2010 0150 73 dengan rujukan PADU. – HARAKAHDAILY 21/4/2022

- Advertisement -