
RAMALLAH: Raja Abdullah II dari Jordan menyeru rejim zionis Israel supaya menghentikan semua langkah yang menyalahi undang-undang dan provokatif yang mendorong keadaan lebih buruk di Baitulmaqdis yang diduduki dan menghormati situasi sejarah dan undang-undang sedia ada.
Kenyataan itu dibuat ketika hampir 20 orang cedera pada hari Ahad (10 April) dalam beberapa insiden di dalam dan sekitar Masjid Al-Aqsa di sini, dua hari selepas pencerobohan Jumaat (8 April) lalu yang menyebabkan lebih 170 warga Palestin mengalami kecederaan dan 400 yang lain ditahan polis Israel.
Pertempuran tercetus dengan pihak kerajaan Palestin mendedahkan rejim zionis Israel cuba membahagikan tapak suci yang sensitif itu pada masa yang tegang apabila perayaan Paskah Yahudi bertepatan dengan Ramadan pada Jumaat lalu itu.
Rakyat Palestin menjangkakan satu minggu lagi Ramadan penuh ketegangan apabila kumpulan Yahudi pelampau melaungkan slogan ‘Paskah ini di Masjid Al-Aqsa’.
Pasukan Bulan Sabit Merah Palestin dalam kenyataannya berkata bahawa 19 rakyat Palestin cedera, termasuk sekurang-kurangnya lima yang dimasukkan ke hospital, semasa konfrontasi Ahad yang meletus di sekitar masjid berkenaan.
“Lima daripada 19 warga Palestin yang cedera telah dibawa ke hospital, antara yang tercedera adalah akibat peluru keluli bersalut getah yang dilepaskan polis Yahudi,” ujar kenyataan itu.

Menurut sumber Palestin dalam kenyataannya berkata, pertempuran ganas meletus di Masjid Al-Aqsa pada pagi Ahad selepas kira-kira 728 orang Yahudi pelampau menyerbu halaman masjid berkenaan.
“Polis Israel menutup Masjid Al-Aqsa dan menghalang kemasukan rakyat Palestin ke dalamnya, sambil cuba memberi laluan masuk bagi pelawat Yahudi ke tapak suci utama itu,” ujar kenyataan berkenaan.
Pertempuran turut meletus di kejiranan Bab Huttah bersebelahan dengan masjid tersebut, antara kumpulan pemuda Palestin yang membaling bunga api ke arah tentera Yahudi yang ditempatkan di Pintu Al-Aqsa, polis Israel melepaskan tembakan peluru getah dan bom asap secara berkala di lorong Bab Huttah.
Sumber Palestin di Baitulmaqdis memberitahu Arab News bahawa tentera Israel telah menjadikan perkarangan Al-Aqsa sebagai berek tentera, ketika mereka menyerang sebelum jam 7 pagi Ahad dan mengosongkan halaman jemaahnya.
“Apa yang berlaku Jumaat lepas adalah tentera Israel mengepung beberapa warga Palestin yang berada di dalam masjid Al-Qibli dan melepaskan peluru getah ke arah mereka melalui tingkap yang dipecahkan.
“Mereka juga mengganggu pembesar suara dan menghalang kru ambulans daripada memasuki masjid untuk merawat mangsa yang cedera,” ujar sumber berkenaan.

Sehubungan itu, Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Pembebasan Palestin Adnan Al-Husseini dalam kenyataannya berkata: “(Masjid) Al-Aqsa telah dijadikan arena untuk perlumbaan untuk menggembirakan peneroka haram Israel oleh rejim kerajaan zionis yang kehilangan sokongan majoriti parlimen.”
Sementara mufti Baitulmaqdis dan Wilayah Suci Palestin, Sheikh Mohammed Hussein memberitahu Arab News bahawa ia adalah situasi yang membimbangkan, dan tidak boleh diterima dalam apa cara sekalipun untuk Masjid Al-Aqsa dikosongkan daripada pemilik Muslimnya dan membenarkan peneroka haram Israel memasukinya dengan cara yang keras tanpa mengambil kira kesucian dan kesucian masjid dan maruah jemaah Islam.
“Penjajah Israel tidak mengambil kira keadaan jemaah di dalam masjid dan ini tidak boleh diterima,” tegasnya.
Perisik Mesir, kepimpinan Hamas
Sumber Israel pula berkata bahawa delegasi perkhidmatan perisikan Mesir membuat lawatan singkat ke Israel pada Jumaat untuk mengetuai usaha pengantaraan secara langsung susulan situasi semasa.
Sumber itu menambah bahawa pihak Mesir menuntut kepimpinan Hamas untuk ‘mengawal keadaan’ di Semenanjung Gaza, menyatakan kebimbangan bahawa sebarang kesilapan mungkin membawa kepada pusingan baharu serangan peluru berpandu dari Semenanjung Gaza merentasi sempadannya ke Israel, yang akan menyebabkan keadaan menjadi lebih teruk.

Saluran 12 Israel, sementara itu, melaporkan bahawa pelampau sayap kanan Israel, MK Itamar Ben-Gvir sedang mempertimbangkan untuk memindahkan pejabatnya dari kejiranan Sheikh Jarrah ke kawasan Pintu Damsyik di Baitulmaqdis.
Saluran itu mendakwa bahawa Ben-Gvir menghantar mesej kepada komander polis Baitulmaqdis pada Ahad, mengatakan bahawa jika tindakbalas rakyat Palestin berterusan di Baitulmaqdis, dan jika peringkat politik tidak membenarkan sebarang tindak bebas terhadap mereka, dia akan membuka pejabat parlimen di Gerbang Damsyik pada hari-hari mendatang ini.
Kenyataan Hamas pula mengatakan bahawa Israel bertanggungjawab atas kesan serangan terhadap jemaah Palestin di Masjid Al-Aqsa pada waktu subuh Ahad dan membenarkan peneroka haram Israel menyerbu dan mencemarkan Masjid Al-Aqsa, yang mencetuskan perasaan marah rakyat Palestin, Arab dan umat Islam di seluruh dunia.
“Rakyat Palestin akan menghadapi pencerobohan berterusan daripada peneroka haram Yahudi dan akan tegar dan tekad menggagalkan rancangan jahat mereka terhadap tempat suci sementara dan ruang Masjid Al-Aqsa semasa bulan suci Ramadan ini. Rakyat Palestin komited untuk melindungi Masjid Al-Aqsa dan tanah suci walau apa pun yang berlaku!” tegasnya. – Agensi




















