
KOTA BHARU: Kelantan bakal mempunyai Kolej Tingkatan 6 yang pertama dilengkapi bangunan dan pejabat pentadbiran sendiri.
Menteri Kanan Pendidikan Dato’ Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, sekarang terdapat 23 Kolej Tingkatan 6 yang beroperasi di seluruh negara.
Katanya Kolej Tingkatan Enam itu akan dilengkapi dengan 20 bilik darjah dan kemudahan-kemudahan lain.
“Bangunan itu akan dibina di Bukit Cina iaitu sempadan antara Ketereh dan Machang. Terletak di lokasi yang strategik berhampiran jalan utama.
“Pembinaan kolej tersebut memberi peluang kepada anak-anak Kelantan untuk mengikuti pendidikan peringkat lepasan menengah di Kolej Tingkatan 6 yang lengkap,” katanya di laman sosialnya semalam.
Sebelum itu beliau melawat tapak kolej tersebut di Bukit Cina Kok Lanas.
Menurutnya juga pembinaan kolej tersebut akan dapat memacu kecemerlangan pendidikan negara melalui penyediaan infrastruktur pendidikan yang lebih baik khususnya di Kelantan.
Sementara itu pada perkembangan lain Dr Mohd Radzi juga berkata, sesi persekolahan semua sekolah rendah dilaksanakan tanpa penggiliran bermula semalam.
Kata beliau seramai 546,049 murid tahun 3,4 dan 5 di 1,558 sekolah yang terlibat dengan penggiliran sebelum ini akan mula hadir ke sekolah seperti biasa.
“Jumlah itu melibatkan 130,177 murid sekolah di negeri kumpulan A yang memulakan persekolahan Ahad, manakala baki 415,872 murid sekolah di negeri kumpulan B yang memulakan sesi tanpa penggiliran Isnin.
“Secara keseluruhan, seramai 5,074,927 juta murid, masing-masing 2,966,893 bagi sekolah rendah dan 2,108,034 sekolah menengah hadir ke sekolah tanpa penggiliran bagi penggal 1 sesi persekolahan 2022/2023 yang bermula 21 Mac lalu,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 18/4/2022











