
Oleh ZUNITA RAMLI
(Rakyat Malaysia berasal dari Negeri Sembilan, menetap di Saitama, Jepun sejak 2016)
Tahun ini adalah tahun ke-10 saya menyambut Ramadan di luar Malaysia. Saya pernah menyambut Ramadan di Australia sebanyak empat kali dan di Jepun, ini kali keenam.
Sesetengah orang tertanya-tanya, bagaimana rasanya menyambut Ramadan di luar Malaysia, terutama di Jepun, sebuah negara yang orang Islam adalah golongan minoriti.
Memang perbezaannya sangat banyak jika hendak dibandingkan cara menyambut Ramadan di Jepun dan negara majoriti Islam lain seperti Malaysia atau Indonesia.
Di Jepun, tidak ada pihak berkuasa Islam yang menyeragamkan hari pertama Ramadan di seluruh Jepun. Sesetengah orang Islam akan mengikuti negara asal mereka sendiri untuk hari pertama Ramadan dan sebahagian lagi mungkin mengikuti negara lain.
Ini menjadikan hari pertama Ramadan di Jepun mungkin berbeza antara satu sama lain. Mungkin ada yang bermula hari ini dan ada yang mungkin bermula esok.
Saya pula mengikut garis panduan Jawatankuasa Ruyat-e-Hilal-Jepun. Jawatankuasa ini mengikuti pihak berkuasa Islam Malaysia untuk memulakan hari pertama Ramadan. Logiknya ialah Malaysia adalah negara Islam paling hampir dengan Jepun dan Malaysia mempunyai satu kuasa undang-undang untuk menyeragamkan hari pertama Ramadan di Malaysia.
Di Jepun, Ramadan sama sahaja seperti hari lain. Orang Jepun bekerja seperti biasa di pejabat. Mereka makan seperti biasa pada waktu makan tengah hari. Tidak seperti di Malaysia apabila sesetengah tempat kerja mungkin memendekkan waktu bekerja dan orang bukan Islam mungkin tidak makan di hadapan kita walaupun pada waktu makan tengah hari kerana mereka memahami dan menghormati orang Islam berpuasa.
Bagaimanapun di Jepun, anda mungkin akan menjangkakan mereka akan sentiasa makan di hadapan anda, terutama mereka yang tidak menyedari bahawa sekarang adalah bulan Ramadan. Tiada masa kerja dipendekkan ketika Ramadan di Jepun.
Tempoh berpuasa di Jepun bergantung pada musim. Jika Ramadan jatuh pada musim panas, puasa akan menjadi lebih lama, iaitu sehingga 16 jam. Jika pada musim sejuk, puasa akan menjadi lebih pendek, iaitu kira-kirar 11 jam.
Tahun ini, Ramadan jatuh pada musim bunga. Oleh itu, tempoh berpuasa adalah sekitar 14 jam. Berbanding Malaysia, tempoh berpuasa tidak banyak berubah setiap tahun iaitu sekitar 13 jam.
Antara perkara yang menarik pada Ramadan ialah berbuka puasa atau iftar. Jika di Malaysia, kita mempunyai banyak masjid, radio, televisyen dan lain-lain untuk mengingatkan mengenai waktu solat dan berbuka puasa. Apabila tiba masanya, azan akan kedengaran.

Malaysia juga mempunyai banyak bazar Ramadan yang menawarkan pelbagai jenis makanan – daripada makanan segera, makanan Barat, makanan tradisional, pencuci mulut, minuman dan banyak lagi. Sangat mudah untuk mendapatkan makanan halal.
Namun bagi azan di Jepun, kita perlu bergantung pada aplikasi solat pada telefon pintar. Tiada bazar Ramadan di Jepun bermakna kita perlu memasak sendiri. Apa-apa juadah, terutama makanan di kampung yang kita rindu atau nak makan berbuka puasa, kena masak sendiri. Tetapi perkara yang baik ialah kita boleh menggilap kemahiran memasak kita.
Kadang-kadang masyarakat Islam Jepun menganjurkan iftar bersama-sama, terutama pada hujung minggu. Kadang-kadang kami hanya membawa makanan dari rumah (gaya pot-luck), atau pada masa lain, kami memasak bersama. Saya percaya aktiviti begini menjadikan ikatan antara masyarakat Malaysia lebih kukuh. Di luar negara, tiada siapa yang akan menjaga anda dengan lebih baik selain komuniti anda sendiri, bukan?
Ada masjid di Jepun menganjurkan solat tarawih dan iftar bersama-sama juga. Menariknya, terdapat begitu banyak juadah di masjid ketika berbuka puasa kerana kebanyakan makanan disumbangkan oleh umat Islam yang lain. Ini kerana, dalam Islam, kita percaya memberi juadah berbuka puasa kepada orang Islam yang berpuasa mendapat pahala yang tinggi. Saya sebenarnya tidak pernah berbuka puasa dan solat tarawih di masjid di Jepun setakat ini. Namun begitu, saya ingin merasainya.
Saya selalunya hanya menunaikan solat tarawih di rumah. Pada waktu lain, saya melakukan bersama-sama masyarakat Islam selepas berbuka bersama.
Tidak dinafikan menyambut Ramadan berbeza berbanding di negara asal kita. Tiada Bazar Ramadan, tiada keluarga, dan suasananya juga berbeza. Bagaimanapun, saya percaya jika kita melihat dari sisi positif, banyak perkara yang boleh kita pelajari daripadanya seperti:
– Ikatan yang lebih kukuh antara masyarakat Malaysia dan Islam di Jepun secara keseluruhan
– Menghargai kemudahan mendapatkan makanan halal di Malaysia
– Pengalaman menyambut Ramadan dan kepelbagaian budaya Islam di Jepun
Namun begitu, saya percaya walau di mana kita berada, di negara mana kita berada, semangat Ramadan tidak pernah berubah. Begitulah kita melihat Ramadan dari perspektif lain. – HARAKAHDAILY 18/4/22




















