
Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL
KOTA BHARU: Agenda Kelantan Negeri Berkebajikan tidak mampu dinafikan lagi apabila program-program kebajikan terus diperkasakan.
Malah baru-baru ini, Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob mengumumkan tambahan peruntukan program rumah dhuafat sebanyak RM10.67 juta lagi.
Pada Bajet 2022 peruntukan yang sama disediakan. Ini menjadikan jumlah peruntukan program rumah dhuafat tahun ini sebanyak RM21.34 juta.
Adun Salor, Saiful Adli Abu Bakar berkata, beliau merancang membina lebih banyak rumah dhuafat bagi membantu penduduk miskin.
Menurutnya berdasar jumlah yang disediakan kerajaan negeri tahun ini bermakna setiap Dun dijangka menerima peruntukan lebih besar berbanding tahun-tahun lepas.
“Kami meancang membaik pulih lebih banyak rumah penduduk miskin melibatkan kos antara RM5,000 hingga RM10,000 sebuah.
“Bagi baik pulih rumah tahun ini, sebanyak 17 projek dilaksanakan. Sejak 2014 kami sudah membantu 46 keluarga memiliki rumah yang lebih selesa dengan tiga bilik tidur,” katanya ketika ditemui di sini.
Program rumah dhuafat dilaksanakan kerajaan negeri kira-kira 20 tahun lalu dengan membina kediaman secara percuma kepada penduduk miskin yang mempunyai ahli keluarga ramai.
Perkembangan yang berlaku itu disifatkan Mohamad Zaid Omar, 72 dari Kampung Pendek, kerajaan Kelantan tetap komited membantu rakyat biarpun sumber kewangan agak terhad.
“Langkah menambah peruntukan program rumah dhuafat dapat membantu lebih ramai penduduk miskin memiliki rumah yang lebih selesa,” katanya.
Hassan Ibrahim, 73, pula berkata, banyak program kebajikan dilaksanakan kerajaan negeri termasuk mengagihkan beras percuma sebanyak 10 kg setiap bulan kepada penduduk miskin.
Selain itu katanya warga emas yang meninggal dunia menerima skim Kifaalah sebanyak RM1,000 dan pengantin baru keluarga miskin mendapat sumbangan skim al Ziwaaj sebanyak RM1,000. – HARAKAHDAILY 13/4/2022




















