MOTAC jangka 2 juta pelancong antarabangsa lawat Malaysia tahun ini

Foto: Muhammad Zharif Zulkiflee
- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menjangka ketibaan dua juta pelancong antarabangsa tahun ini yang membawa pulangan sebanyak RM8.6 bilion.

Timbalan Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Saraya Arbi, berkata selepas dua tahun yang agak sunyi, ketibaan pelancong antarabangsa akan berkembang secara beransur-ansur pada tahun ini dari negara jiran seperti Singapura, Thailand, Indonesia dan Brunei.

- Advertisement -

Menurutnya, ini dijangka diikuti negara serantau Asia Tenggara, seluruh Asia dan dari pasaran jarak sederhana dan jauh.

“Dengan sempadan Malaysia dibuka kepada pelawat antarabangsa mulai 1 April, kami teruja sekali lagi untuk Kuala Lumpur meneruskan peranan sebagai antara destinasi membeli-belah utama di dunia.

“Saya pasti pemain pelancongan, termasuk agensi dan operator pelancongan, hotel dan destinasi pelancongan seperti pusat beli-belah, bersama MOTAC apabila kami menyatakan keterujaan untuk mengalu-alukan kedatangan pelancong ke pantai kami,” katanya ketika melancarkan `Eid in Harmony’ di kompleks beli-belah Pavilion KL di sini, semalam.

Turut hadir Duta Republik Islam Iran ke Malaysia, Ali Asghar Mohammadi; Ketua Pegawai Eksekutif Peruncitan Pavilion KL, Datuk Joyce Yap; Pengarah Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Khairul Azmir; dan Ketua Kad, Perkhidmatan Kewangan Komuniti Kumpulan Maybank, B Ravintharan.

‘Eid in Harmony’ yang diadakan dengan kerjasama Kedutaan Republik Islam Iran ialah pameran silang budaya antarabangsa yang meraikan warisan, budaya serta tradisi Malaysia dan Iran.

Saraya berkata, Hari Raya adalah masa terbaik untuk meraikan kepulangan pelancong dan berkongsi budaya Malaysia dengan dunia dan tiada tempat yang lebih baik untuk mempamerkannya selain di Pavilion KL.

Sebagai destinasi beli-belah utama Malaysia, katanya Pavilion KL melakukan usaha yang besar selama ini, untuk membawa membeli-belah ke hadapan agenda pelawat ke Malaysia.

“Pavilion KL juga memainkan peranan penting meningkatkan status Bukit Bintang sebagai kawasan beli-belah utama Malaysia dan tarikan pelancong utama,” katanya.

Sementara itu, katanya kerjasama dengan Kedutaan Iran akan menyajikan sambutan Hari Raya yang sangat unik untuk rakyat Malaysia dan Iran serta pelancong, sekali gus membolehkan mengetahui lebih lanjut berhubung budaya masing-masing.

Sebelum pandemik Covid-19 melanda, katanya Iran adalah antara pasaran berprestasi tinggi untuk Malaysia dan MOTAC mengalu-alukan jumlah pelancong Iran yang menggalakkan, terutama ketika cuti Tahun Baru Parsi.

“Kami berharap untuk meneruskan trend ini sekarang setelah sempadan negara dibuka semula, untuk mewujudkan semula kepulangan pelancong Iran, dengan potensi untuk pertumbuhan yang lebih kukuh,” katanya.

Duta Republik Islam Iran ke Malaysia, Ali Asghar Mohammadi

Sementara itu, Ali Asghar berkata, pandemik Covid-19 membawa masa sukar kepada orang ramai di seluruh dunia sejak dua tahun lalu.

Namun, katanya terima kasih kepada normal baharu di Malaysia, umat Islam dapat sekali lagi menyambut Ramadan bersama-sama di tempat yang indah ini dalam festival silang budaya yang unik antara Iran dan Malaysia.

Menurutnya, masyarakat Iran di negara ini yang terdiri daripada golongan elit dalam bidang akademik, seni dan perniagaan sentiasa berupaya dan bersedia untuk mencipta peluang berharga bagi merangsang pelbagai sektor utama di Malaysia.

“Apa yang kita saksikan hari ini adalah sebahagian kecil daripada interaksi budaya yang hebat antara dua negara yang bertepatan dengan ketibaan Tahun Baru Parsi (Nowruz) yang bermula pada 21 Mac yang serentak dengan ketibaan musim bunga, menandakan hari yang lebih baik untuk kedua-duanya.

“Inisiatif silang budaya seperti program ini, bukan sahaja membolehkan kita berinteraksi dengan orang lain tentang budaya kita, tetapi lebih penting lagi menyedarkan kita bagaimana kita semua berhubung antara satu sama lain,” katanya.

Datuk Saraya Arbi (tengah) melawat pameran `Eid in Harmony’ di Pavilion KL

Joyce pula berkata, Pavilion KL pada tahun ini berbangga dapat bekerjasama dengan Kedutaan Republik Islam Iran untuk meraikan perayaan bersama-sama, melalui persembahan silang budaya.

Menjelang pelancaran ‘Eid in Harmony’, katanya kedutaan telah menyambut Tahun Baharu Parsi antara 2 hingga 7 April, dengan produk asli Iran dan aktiviti interaktif untuk melibatkan dan mendidik pembeli di Centre Court.

Menurutnya, hanya selang beberapa minggu, sambutan Tahun Baru Parsi mendahului perayaan Hari Raya dan berganding bahu dengan budaya indah Iran, Pavilion KL menggunakan peluang ini untuk turut mempamerkan budaya Malaysia dengan ‘Eid In Harmony’.

Katanya, pembeli juga didedahkan kepada aktiviti mengasyikkan seperti demonstrasi menganyam kain, bengkel membuat tembikar serta persembahan muzik dan tarian kedua-dua budaya.

“Bersama Kedutaan Republik Islam Iran, kami berbesar hati bekerjasama dengan MOTAC, termasuk Kraftangan Malaysia, untuk mempersembahkan paparan indah seni, persembahan kebudayaan dan produk Malaysi.

“Kami juga bekerjasama dengan DBKL untuk mempamerkan persembahan kebudayaan Malaysia, serta Yayasan Tuanku Nur Zahirah untuk berkongsi tradisi songket Melayu yang berkait rapat dengan Istana Diraja Melayu untuk menambah pengalaman istimewa kepada pembeli dan pengunjung kami,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/4/22

- Advertisement -