Satu juta boleh tunai haji gembirakan umat Islam

Foto hiasan.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pengumuman Arab Saudi yang membenarkan satu juta umat Islam tempatan dan antarabangsa menunaikan ibadah haji tahun ini pastinya menggembirakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata, pastinya berita itu benar-benar menggembirakan semua umat Islam yang telah menantikan dengan penuh sabar untuk melaksanakan ibadah rukun Islam kelima.

- Advertisement -

Menurutnya, dua tahun adalah satu tempoh yang cukup lama bagi mereka yang rindukan bumi haram untuk menunaikan tanggungjawab rukun Islam yang penuh hikmah.

idris

“Pastinya berita ini benar-benar menggembirakan semua umat Islam yang telah menantikan dengan penuh sabar untuk melaksanakan ibadah rukun Islam kelima ini,” ujarnya menerusi laman Facebook beliau, hari ini.

Tambahnya, jaminan untuk melaksanakan ibadah haji ternyata semakin bersinar dengan pengumuman daripada Kerajaan Arab Saudi.

“Saya telah dimaklumkan bahawa pihak TH (Tabung Haji) akan segera memaklumkan kepada saya apabila kuota haji bagi negara kita akan dimaklumkan oleh pihak Kerajaan Saudi sedikit masa lagi,” ujarnya.

Katanya, beberapa sidang media yang beliau maklumkan sebelum ini bahawa komitmen TH yang telah bersedia untuk memastikan kelancaran ibadah haji kepada bakal-bakal jemaah di negara ini telah pun dipersiapsiagakan.

“Kita hanya tinggal untuk mendapatkan kuota, dan segalanya pasti akan dijalankan dengan paling baik.

“Sesungguhnya kepastian untuk menunaikan ibadah haji ini cukup memberi makna kepada kita semua,” tambahnya.

Beliau menyeru agar terus berdoa, sabar dan fokus dalam menjalani ibadah Ramadan.

“Dan sungguh-sungguhlah berdoa agar kita dapat menjadi tetamu Allah kelak. Labbaikallahumma labbaik. Alhamdulillah,” ujarnya.

Menurut Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi dalam kenyataan hari ini, hanya satu juta umat Islam tempatan dan antarabangsa di bawah usia 65 tahun dibenarkan menunaikan haji tahun ini.

Syarat yang ditetapkan ialah sudah divaksinasi dengan vaksin Covid-19 yang diiktiraf Kementerian Kesihatan Arab Saudi dan melakukan saringan Covid-19 72 jam sebelum berlepas. – HARAKAHDAILY 9/4/2022

- Advertisement -