
KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad menerima jemputan berbuka puasa bersama Persatuan Rabitah Antarabangsa Alumni al-Azhar Malaysia bagi merasmikan Sambutan Hari al-Azhar Sedunia 2022, semalam.
Sehubungan itu, beliau melahirkan rasa teruja dapat berkumpul bersama para cendekiawan, alim ulama lepasan al-Azhar yang kaya dengan ilmu serta mewarisi tradisi keilmuwan dan jati diri ulama.
Katanya, sehingga hari ini lepas al-Azhar seluruh dunia mencecah jutaan bilangannya.
Menurutnya, ia suatu pencapaian yang membanggakan oleh universiti yang telah mencecah lebih 1,000 tahun ini.
“Besar harapan saya agar persatuan ini sentiasa segar sebagai wadah mengeratkan hubungan sesama ahli khususnya anak Malaysia.
“Juga aktif dalam menganjurkan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat dalam membawa mesej kesyumulan Islam dalam negara,” ujarnya dalam catatan di laman sosial beliau, hari ini.
Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih atas jemputan dan tahniah di atas penganjuran Hari al-Azhar Sedunia peringkat Malaysia yang julung-julung kali diadakan.
“Semoga menjadi pemangkin dalam memartabatkan seluruh golongan agama di Malaysia,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 8/4/2022




















