PAS Kuala Kedah edar 4,000 pek bubur lambuk

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

KUALA KEDAH:
Bubur lambuk Kuala Kedah sebelum ini sering menjadi sajian petugas ketika kempen pilihan raya dan kejadian bencana alam yang melibatkan kehadiran aktivis PAS kawasan itu.

Keenakannya tidak mampu dipertikaikan lagi sehingga turut menjadi sebutan penduduk luar Kedah.

- Advertisement -

Naib Yang Dipertua PAS Kuala Kedah Abdul Basir Ahmad berkata, setiap kali Ramadan, pihaknya menyediakan antara lapan hingga 10 kali edaran kepada orang ramai.

Kata beliau pihaknya menyediakan sehingga 500 pek bubur lambuk diedar setiap kali dimasak.

“Kita masak satu periuk besar dan dipek dalam 500 bekas serta diedarkan kepada orang ramai yang lalu lalang di hadapan Markas PAS Kuala Kedah.

“Selalunya lapan kali dalam sebulan kita masak yang memuatkan sehingga 4,000 pek, tetapi kalau ada dana lebih kita akan masak hingga 10 kali,” katanya di sini.

Ditanya apa keunikan bubur lambuk Kuala Kedah, Basir berkata, beliau menggunakan daging tempatan selain udang kering tanpa kulit kira-kira dua kilogram untuk satu periuk.

Selain itu udang segar bersaiz besar sebanyak 10 kilogram yang menyebabkan bubur lambuk menjadi lebih sedap.

“Untuk 15 kilogram beras kos penyediaannya mencecah hampir RM620 dan selalunya kami mendapat dana dari sumbangan orang ramai dan ahli PAS Kuala Kedah.

“Setakat ini alhamdulillah PAS Kuala Kedah mendapat sumbangan khususnya daripada ahli-ahli PAS dan ada juga dari pihak luar kawasan,” katanya.

Menurutnya juga bubur lambuk Kuala Kedah akan diedar kali kedua pada Ahad ini. – HARAKAHDAILY 8/4/2022

- Advertisement -