Konflik Ukraine-Rusia tingkat risiko kekurangan zat makanan di Timur Tengah

- Advertisement -

AMMAN: Kenaikan harga makanan akibat serangan Rusia di Ukraine, meningkatkan risiko kekurangan zat makanan membabitkan berjuta-juta kanak-kanak di Timur Tengah dan Afrika Utara.

Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) memberi amaran bahawa jika keadaan berterusan, ini akan memberi kesan buruk kepada kanak-kanak di rantau ini, terutama di Mesir, Lubnan, Libya, Sudan, Syria dan Yaman.

- Advertisement -

Negara-negara ini bergelut dengan konflik dan krisis ekonomi yang teruk walaupun sebelum konflik di Ukraine bermula.

“Konflik yang berterusan, ketidakstabilan politik, pandemik Covid-19 dan krisis Ukraine, rantau ini menyaksikan kenaikan harga makanan yang belum pernah berlaku sebelum ini, selain kuasa beli yang rendah,” kata Pengarah UNICEF Wilayah Timur Tengah dan Afrika Utara, Adele Khodr.

Katanya, bilangan kanak-kanak yang kekurangan zat makanan mungkin meningkat secara drastik.

Negara-negara di Timur Tengah dan Afrika Utara, dilanda perang dan kemiskinan, manakala virus corona hanya memburukkan keadaan.

Tentera Rusia mula menyerang Ukraine pada 24 Februari dan sejak itu, pertempuran sengit di negara itu mula mengganggu eksport makanan.

Ukraine dan Rusia menyumbang satu pertiga daripada eksport gandum dan barli global, yang negara-negara di Timur Tengah bergantung untuk memberi makan kepada berjuta-juta orang yang hidup dengan roti bersubsidi dan mi murah.

Kedua-dua negara juga pengeksport utama bijirin lain dan minyak biji bunga matahari yang digunakan untuk memasak. Selain itu, negara-negara di Timur Tengah dan Afrika Utara mengimport lebih 90 peratus makanan yang mereka makan.

UNICEF menyatakan bahawa hanya 36 peratus kanak-kanak kecil di rantau ini menerima diet yang diperlukan untuk membesar dengan cara yang sihat.

Organisasi itu menamakan Yaman, Sudan, Lubnan dan Syria sebagai negara paling terkesan akibat konflik di Ukraine.

Menurut UNICEF, lebih 9.1 juta kanak-kanak berumur bawah lima tahun dan hampir 13.8 juta kanak-kanak dan wanita di negara berkenaan memerlukan intervensi pemakanan. – REUTERS

- Advertisement -