
ISLAMABAD: Mahkamah Agung Pakistan, semalam, memutuskan bahawa tindakan Perdana Menteri, Imran Khan, membubarkan Parlimen, bercanggah dengan Perlembagaan negara itu.
Selain itu, mahkamah menggesa penggubal undang-undang kembali dalam tempoh dua hari, keputusan yang boleh menandakan berakhirnya tempoh Imran Khan sebagai Perdana Menteri.
Bekas bintang kriket terkemuka itu bertindak membubarkan dewan bawahan sebelum prosedur undi tidak percaya sempat dilakukan terhadapnya. Mahkamah dalam penghakiman menyatakan bahawa pengundian itu kini akan diteruskan.
“Nasihat yang diberikan oleh Perdana Menteri pada 3 April lalu supaya Presiden membubarkan perhimpunan adalah bertentangan dengan Perlembagaan dan tidak mempunyai kesan undang-undang,” kata Ketua Hakim Negara Pakistan, Umar Ata Bandial di mahkamah yang penuh sesak.
Berpuluh-puluh anggota pembangkang di luar bangunan batu putih yang megah itu menjerit kegembiraan sebaik keputusan sebulat suara diumumkan. Penyokong Imran Khan yang marah pula melaungkan slogan anti Amerika Syarikat ketika anggota polis yang lengkap dengan peralatan rusuhan memisahkan kedua-dua pihak.
Krisis Perlembagaan mengancam kestabilan ekonomi dan sosial di negara kuasa nuklear dan mempunyai 220 juta penduduk itu. Mata wang Rupee Pakistan pula mencecah paras terendah dan rizab pertukaran asing jatuh.
Anggota parti pembangkang bersatu menentang Imran Khan, minggu lalu, untuk mendesak usul undi tidak percaya diadakan. Namun, Timbalan Speaker Parlimen dari parti Imran Khan, menolak usul itu dan memutuskan ia adalah sebahagian konspirasi asing dan tidak berperlembagaan.
Keputusan mahkamah yang boleh menamatkan tempoh perkhidmatan Imran Khan, bermakna tiada pemimpin yang dipilih melalui proses demokrasi dapat menamatkan penggal penuh ketika memegang jawatan.
Imran Khan, 69, yang mengemudi Pakistan memenangi Piala Dunia Kriket pada 1992, berkuasa pada 2018 selepas berkempen untuk membawa Pakistan menjadi sebuah negara yang bebas rasuah dan makmur serta dihormati di pentas dunia.
Namun kemasyhuran dan kewibawaan nasionalis terkenal itu mungkin tidak cukup untuk mengekalkannya berkuasa. Beliau tidak dapat menunaikan semua janjinya dan gagal mengelak kemerosotan ekonomi yang sebahagian dicetuskan oleh pandemik Covid-19.
Jika Imran Khan kalah dalam undi tidak percaya, pembangkang boleh mencalonkan Perdana Menteri daripada kalangan mereka dan memegang kuasa hingga Ogos 2023, sebelum pilihan raya baharu perlu diadakan.
Suruhanjaya Pilihan Raya Pakistan memberitahu bahawa paling awal pilihan raya boleh diadakan ialah pada Oktober tahun depan.
Bagi pembuat dasar ekonomi, melihat krisis politik perlu diselesaikan secepat mungkin. Pakistan mungkin memerlukan bantuan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk menampung rizab mata wang yang amat rendah.
Rupee Pakistan mencatat kerugian dan mencecah paras terendah semalam, ketika negara itu menunggu penghakiman mahkamah.
“Memandangkan Dollar AS terus melonjak, kegawatan ekonomi yang besar sedang menimpa negara,” kata Shehbaz Sherif, seorang pemimpin pembangkang yang merupakan antara pilihan untuk menggantikan Imran Khan sebagai Perdana Menteri.
Krisis itu juga mengancam hubungan Pakistan dan sekutu lama, Amerika Syarikat, yang dipersalahkan oleh Imran Khan kerana didakwa berada di sebalik konspirasi untuk menggulingkannya. Bagaimanapun, Washington, menafikan perkara ini.
Penganalisis politik berkata, tentera Pakistan yang berpengaruh besar di negara itu, kelihatan menyebelahi Imran Khan dan agenda konservatifnya ketika memenangi pilihan raya umum sebelum ini. Namun, sokongan itu semakin berkurangan. Imran Khan pula menafikan mendapat sokongan tentera.
Tentera Pakistan mempunyai sejarah campur tangan dan menyingkirkan kerajaan awam, iaitu sebanyak tiga kali sejak kemerdekaan Pakistan pada 1947. Tindakan itu dilakukan atas dasar menamatkan ketidaktentuan politik. Namun, pimpinan tentera sekarang mendakwa tidak terlibat dalam politik. – REUTERS




















