
KYIV: Ukraine mendakwa bahawa Rusia sedang bersedia untuk melancarkan serangan baharu di bahagian timur negara itu.
Rusia dikatakan merancang untuk menawan wilayah timur Donetsk dan Luhansk serta menguasai sepenuhnya bandar Mariupol.
Tentera Rusia yang dikatakan kehilangan 18,600 askar, setakat ini menyerang di enam kawasan berbeza di Ukraine. Namun berjaya dipatahkan oleh tentera dan pejuang sukarela Ukraine, manakala Osokarovka di selatan wilayah Kherson telah dibebaskan.
Serangan Rusia ke atas Ukraine yang bermula 24 Februari lalu, menimbulkan kemarahan dunia antarabangsa dengan negara Kesatuan Eropah (EU), Amerika Syarikat dan United Kingdom, melaksanakan sekatan kewangan yang keras ke atas Moscow.
Mengikut anggaran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sekurang-kurangnya 1,480 orang awam terbunuh dan 2,195 cedera di Ukraine, tetapi angka sebenar dikhuatiri jauh lebih tinggi.
Agensi pelarian PBB menyatakan, lebih 4.27 juta rakyat Ukraine melarikan diri ke negara lain dengan jutaan lagi kehilangan tempat tinggal. – ANADOLU




















