
MANILA: Bank Pembangunan Asia (ADB) menjangka pertumbuhan ekonomi Asia lebih perlahan tahun ini, berbanding unjuran sebelum ini dengan peperangan di Ukraine akan memberi kesan terhadap pemulihan ekonomi rantau ini yang masih bergelora akibat pandemik Covid-19.
Gabungan ekonomi blok ini, termasuk China dan India, diunjurkan berkembang 5.2 peratus tahun ini, turun sedikit berbanding unjuran 5.3 peratus pada Disember, dan jauh lebih rendah berbanding pertumbuhan 6.9 peratus pada tahun sebelumnya.
Mengikut ADB dalam laporan Tinjauan Pembangunan Asia, rantau ini diramalkan berkembang 5.3 peratus pada tahun 2023 dengan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine sangat mengganggu prospek pembangunan Asia yang masih berhadapan Covid-19.
Bank berpangkalan di Manila itu menyatakan, faktor lain yang boleh mengaburkan prospek pertumbuhan rantau ini, termasuk kenaikan berterusan harga komoditi, peningkatan risiko kestabilan kewangan yang mungkin berpunca akibat kenaikan kadar faedah yang agresif di Amerika Syarikat dan kemunculan varian Covid-19 yang lebih bahaya.
Ekonomi China mungkin akan berkembang 5.0 peratus tahun ini, lebih perlahan berbanding unjuran Disember dan jauh lebih lemah daripada pengembangan 8.1 peratus pada 2021 berikutan wabak Covid-19 mengganggu aktiviti ekonomi dan mengurangkan perbelanjaan pengguna.
Melainkan Asia Selatan, semua sub rantau ini dijangka mencatat pertumbuhan yang lebih perlahan daripada yang dijangkakan tahun ini. ADB melihat Asia Timur dan Asia Tenggara, masing-masing berkembang pada 4.7 peratus dan 4.9 peratus, bukan lagi 5.0 peratus dan 5.1 peratus.
Di kalangan negara Asia Tenggara, Vietnam mendahului dengan unjuran pertumbuhan 6.5 peratus, manakala Malaysia dan Filipina, masing-masing 6.0 peratus, diikuti Indonesia (5.0 peratus), Singapura (4.3 peratus) dan Thailand (3.0 peratus).
Kenaikan harga komoditi yang lebih mendadak daripada jangkaan menyebabkan ADB menaikkan unjuran inflasi rantau ini kepada 3.7 peratus pada 2022, berbanding unjuran awal sebanyak 2.7 peratus sebelum susut kepada 3.1 peratus pada 2023. – REUTERS




















