
LONDON: Jersi yang dipakai Diego Maradona ketika menjaringkan gol kontroversi menentang England dalam Piala Dunia 1986 akan dijual buat kali pertama.
Menurut broker lelongan Sotheby’s, jersi itu boleh memperoleh lebih AS$5.2 juta melalui lelongan dalam talian yang dibuka mulai 20 April ini.
Ketua pakaian jalanan dan barang koleksi moden Sotheby’s, Brahm Wachter, berkata baju itu berada dalam senarai kecil barangan memorabilia sukan paling penting di dunia.
“Saya tidak akan dapat mengendalikan apa-apa yang sebaik ini lagi. Saat ini adalah ikonik dalam sejarah sukan,” katanya.
Maradona menjaringkan dua gol ketika perlawanan peringkat suku akhir di Mexico City pada 22 Jun 1986, empat tahun selepas Britain dan Argentina berperang kerana Kepulauan Falkland.
Gol pertama pemain hebat Argentina itu dijaringkan dengan tandukan, tetapi bola melantun dari tangan Maradona yang tidak dapat dilihat pengadil.
Selepas perlawanan itu, Maradona membuat kenyataan bahawa gol itu dijaringkan “sedikit dengan kepalanya dan sedikit dengan tangan Tuhan.”
Jaringan kedua Maradona dalam perlawanan itu mengesahkan kehebatannya apabila menggelecek bola melepasi hampir keseluruhan pasukan England sebelum menewaskan penjaga gol, Peter Shilton. Dalam tinjauan pendapat FIFA pada tahun 2002, jaringan itu dipilih sebagai “Gol Abad Ini.”
Wachter berkata, dua gol itu mengimbangi antara satu sama lain dengan cemerlang dan mendedahkan dua aspek perwatakan Maradona.
Pertama, katanya Maradona sangat licik dan memang melibatkan unsur tuah, tetapi dia kemudian menjaringkan gol kedua, yang merupakan antara jaringan yang paling sukar dipercayai.

Argentina memenangi perlawanan itu dengan keputusan 2-1 dan kemudian memenangi Piala Dunia. Namun, Maradona, yang dianggap sebagai pemain terhebat sepanjang zaman, bergelut dengan penyalahgunaan dadah dan ketagihan alkohol, meninggal dunia ketika berusia 60 tahun pada November 2020.
Selepas perlawanan itu, Maradona bertukar baju dengan pemain tengah England, Steve Hodge, yang tidak pernah menjualnya sehingga kini. Sejak 20 tahun lalu, jersi itu dipinjamkan kepada Muzium Bola Sepak Kebangsaan England di Manchester.
Jersi biru dengan jalur biru yang lebih gelap, disediakan dengan tergesa-gesa untuk disesuaikan dengan cuaca panas Mexico City. Tampalan lambang Persatuan Bola Sepak Argentina dijahit dan nombor berkilauan, termasuk 10 Maradona, diseterika ke belakang sejurus sebelum perlawanan.
Hodge melahirkan kebanggaan memiliki jersi itu yang mempunyai makna budaya mendalam kepada dunia bola sepak, rakyat Argentina dan England.
Wachter pula berkata, Hodge telah memutuskan masa yang tepat untuk menjual jersi itu.
Harga memorabilia sukan melonjak dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini. Baju itu boleh mengatasi rekod sehelai pakaian sukan yang kini dipegang oleh jersi Babe Ruth New York Yankees yang dijual pada harga AS$5.64 juta pada 2019.
Baju itu akan dipamerkan di bilik pameran Sotheby’s di sini ketika tempoh bidaan mulai 20 April hingga 4 Mei. – AP




















