
Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 35)
NIK MUHAMMAD NASRI NIK MALEK
UMAR al-Khattab, ketika menjadi Amir al-Mukminin, mendapat berita bahawa Abu Hurairah RA mengumpulkan harta ketika menjadi gabenor di Bahrain.
Umar menghitung kekayaan Abu Hurairah. Beliau mengambil balik semua harta Abu Hurairah yang diragui sumbernya, lalu memasukkannya ke dalam baitul mal.
Berlaku perbualan yang agak tegang menunjukkan betapa Umar al-Khattab sangat mengambil berat tentang keadilan dan memerangi mengambil pendapatan dari sumber yang tidak sepatutnya.
Umar berkata: Aku lantik kamu bertugas di Bahrain, sedangkan kamu tiada kasut. Sampai berita kepadaku bahawa engkau membeli beberapa ekor kuda dengan harga 1,600 dinar.
Abu Hurairah menjawab: Kami ada beberapa ekor kuda yang beranak dan juga pemberian yang banyak.
Umar berkata: Aku sudah mengira pendapatan dan perbelanjaanmu. Ini adalah lebihan dari yang sepatutnya. Tunaikan haknya.
Abu Hurairah menjawab: Engkau tak boleh buat begitu.
Umar menjawab balik: Bahkan. Demi Allah! Aku akan pukul belakang kamu.
Umar bangun dengan mengambil sejenis alat, lalu dipukulnya Abu Hurairah hingga berdarah. Beliau berkata: Tunaikan haknya.
Abu Hurairah berkata: Aku serahkan perkara ini kepada Allah.
Umar berkata: Ini kalau engkau ambil harta itu dengan cara halal, dan engkau tunaikan haknya dengan redha. Adakah engkau datang dari tempat yang jauh dari Bahrain, lalu engkau ambil harta orang lain untukmu? Bukannya untuk hak Allah dan orang Islam? Aku tidak kembalikan engkau kepada ibumu melainkan menjadi pengembala keldai. (Huquq al-Insan, Sheikh Muhammad Al-Ghazali ms 208)
Kita melihat betapa Saidina Umar al-Khattab sangat tegas dan berprinsip dalam menegakkan keadilan, termasuk yang melibatkan harta tanpa mengira status, jawatan, kedudukan dalam negara dan di sisi Nabi sekalipun.
Kita maklum bahawa Abu Hurairah ra adalah sahabat Nabi SAW yang banyak meriwayatkan hadis Nabi. Beliau termasuk dalam kalangan ahli Suffah, mereka yang tinggal di serambi Masjid Nabi, tiada harta, tanah, rumah dan kebun. Pakaiannya pun sangat daif.
Abu Hurairah pernah masuk ke masjid Nabi, lalu tersembam. Ada orang yang menyangka itu orang lain, rupa-rupanya Abu Hurairah yang tidak makan beberapa hari.
Di zaman Umar, Islam berkembang. Harta negara bertambah. Kemewahan melimpah. Tentunya ia membuka ruang kepada apa-apa sahaja yang boleh berlaku mengenai pemilikan harta.
Sebab itulah, kita lihat Umar al-Khattab memberi perhatian yang sangat tinggi mengenainya. Barangkali kalau Saidina Umar al-Khattab ada sekarang, berapa ramai yang ditegur oleh Umar tentang kekayaan mereka.
Menjadi kaya tidak salah. Yang salah ialah cara mengumpulkan kekayaan itu dengan cara syubhah, rasuah dan jalan yang salah. – HARAKAHDAILY 7/4/2022
Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu.











