
DALAM kitab Min Akhta’ina Fi Ramadhan karya Mohamed bin Rasyid bin Abdullah Al-Ghafiily menjelaskan mengenai keadaan perokok yang ketagih dengan rokoknya sehingga ada yang berbuka puasa dengan menghisap rokok:
أن بعض المدخنين ما إن يسمع الأذان حتى يأكل شيئا يسيرا ثم يسرع إلى سيجارته ويشعلها، بل أن هناك من يفطر على هذه السيجارة قبل أكل أي شيء، وفي هذا العمل ثلاثة أخطاء:-
١- أفطر على شيء محرم وهو شرب الدخان والتحريم قال به العلماء قديما وحديثا.
٢- أنه خالف سنة الرسول بتركه في الفطر على التمر والماء.
٣- أن شرب الدخان والمعدة خالية من الطعام والشراب له من الأضرار الصحية الكثيرة.
“Sebilangan perokok, sebaik sahaja mendengar azan, dia makan sedikit sahaja, kemudian cepat-cepat mendapatkan rokoknya lalu menyala dan menghisapnya. Bahkan ada juga yang berbuka dengan rokok sebelum makan sesuatu, dan dalam perbuatan ini ada tiga kesalahan:
1. Dia berbuka dengan sesuatu yang diharamkan iaitu menghisap rokok dan pengharaman ini dinyatakan oleh para ulamak dahulu dan sekarang.
2. Dia menyalahi Sunnah Rasulullah S.A.W dengan meninggalkan berbuka dengan kurma dan air.
3. Menghisap rokok semasa perut kosong daripada makanan dan minuman adalah mendatangkan kemudaratan yang banyak terhadap kesihatan.”
Tabiat merokok sangat tidak sesuai dengan nilai murni dalam kehidupan seseorang Muslim. Bahkan terlalu banyak fatwa menegaskan merokok adalah haram yang dikeluarkan oleh ramai ulamak berkaliber termasuk institusi fatwa tempatan dan antarabangsa. Sudah jelas, Islam melarang kita melakukan sesuatu perkara yang boleh merosakkan kesihatan dan mengancam kehidupan. Apa sahaja yang dimasukkan ke dalam tubuh dan saraf, hendaklah daripada perkara yang Thoyyibat lagi suci dan menjamin keselamatan jasmani, akal dan rohani. Merokok dengan cara menyedut masuk asapnya ke dalam badan adalah cara yang merosak dan mengancam diri. Hal ini jelas ditegah oleh Syariat Islam.
Jika dirujuk pula kepada dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019, telah dikeluarkan data kematian lebih 27,200 rakyat Malaysia dikaitkan dengan tabiat merokok mereka. Kira-kira 15 peratus daripada jumlah itu adalah penghidu yang mati akibat terdedah kepada asap rokok daripada perokok tegar.
Kajian ini membuktikan bahawa setiap Muslim yang merokok kena berikhtiar mencari solusi segera agak berhenti daripada merokok. Bulan Ramadhan adalah waktu terbaik untuk membuat perubahan tersebut disebabkan keberkatan dan kelebihannya yang agung. Kepada rakan-rakan perokok, berbekalkan kemahuan dan keimanan diri anda, insya-Allah anda boleh berubah!
ASRI ED-DIWANIE – HARAKAHDAILY 6/4/2022




















