
SAYA tertarik kepada satu posting TikTok di mana seorang anak bertanya kepada bapanya mengenai pengajaran ibadah berpuasa. Bapa itu menjawab di antara pengajarannya adalah kita dapat merasai kepayahan orang miskin. Ada yang terpaksa berlapar kerana tidak ada makanan atau makanan yang tidak mencukupi. Tetapi anak itu terus bertanya adakah orang miskin juga berbuka puasa di hotel. Video itu memaparkan keluarga tersebut sedang berbuka puasa dengan hamparan makanan yang begitu mewah.
Ini adalah realiti masyarakat kita di mana terdapat mereka yang tenggelam dengan kemewahan sehingga pengajaran dari ibadah puasa itu tidak dapat dihayati. Tidak salah untuk kita menikmati makanan-makanan yang enak. Tidak salah untuk kita membuat persiapan bagi menyambut Hari Raya yang akan menemui kita nanti. Namun begitu jangan pula tujuan ibadah ini tidak memberi kesan kepada diri kita sama sekali.
Saya sempat meninjau senarai bufet-bufet Ramadan yang ditawarkan oleh hotel-hotel dan restoran-restoran terkemuka di Lembah Kelang. Hari ini susah untuk mencari bufet Ramadan yang di bawah RM100 seorang. Kebanyakannya di antara RM100 hingga RM200 seorang. Malah ada yang melebihi RM200 seorang. Ini membuat saya berfikir. Dalam masa yang singkat dari waktu berbuka puasa sehingga ke waktu Isyak dan Tarawih, adakah seseorang dapat menghabiskan makanan yang melebihi RM200? Jika tidak adakah hotel atau restoran tersebut akan mengaut keuntungan yang tinggi kerana pelanggan akan makan kurang dari harga yang dibayar?
Tetapi ini mungkin tidak akan berlaku kerana pihak hotel dan restoran sudah tentu akan menyediakan makanan menurut harga yang dibayar oleh pelanggan. Jika pelanggan hanya berupaya makan separuh atau tiga suku dari yang disediakan maka sudah tentu terdapat banyak makanan yang berlebihan. Makanan yang berlebihan ini boleh menjadi satu pembaziran atau rezeki untuk orang lain. Ia boleh menjadi satu pembaziran jika ia dibuang begitu sahaja jika tidak dimakan. Di Filipina, makanan seperti daging lembu atau daging ayam yang dibuang ke dalam tong sampah atau yang dihantar ke tapak pelupusan sampah akan dipungut dan dimasak semula menjadi lauk untuk dijual kepada golongan miskin. Rakyat Malaysia belum lagi sampai ke tahap tersebut justeru makanan yang terbuang tidak akan dipungut oleh sesiapa.
Tetapi makanan yang tidak dimakan di bufet-bufet ini boleh menjadi rezeki untuk orang lain. Sekiranya ia tidak disentuh oleh pelanggan, makanan-makanan tersebut boleh disimpan untuk dimanfaatkan oleh mereka yang memerlukan. Pihak hotel atau restoran boleh menghantarnya ke institusi-institusi atau pusat-pusat yang memerlukan. NGO-NGO juga boleh membantu untuk mengedarkan makanan-makanan tersebut kepada mereka yang memerlukan. Pusat-pusat pengedaran boleh diwujudkan untuk mengedarkannya atau untuk mereka yang memerlukan datang mengambilnya. Teknologi hari ini memungkinkan makanan disimpan tanpa menjejaskan kualitinya dan tidak perlu dihabiskan dengan segera.
Oleh yang demikian, di sebalik kemewahan segelintir masyarakat dan pembaziran yang mungkin berlaku, Ramadan memberi peluang kepada kita semua untuk berbakti kepada masyarakat. Sama ada sebagai individu atau pertubuhan seperti parti politik, peluang yang ada pada bulan Ramadan tidak sepatutnya dibiarkan berlalu. Sama ada menyumbang sepiring juadah untuk berbuka puasa atau jamuan moreh kepada menaja majlis berbuka puasa, mereka yang mengejar ganjaran dari Allah S.W.T tidak akan melepaskan peluang di bulan yang mulia ini. Sebagai parti politik, Ramadan memberi peluang kepada mereka untuk terjun ke dalam masyarakat. Sekiranya selama ini mereka hanya berlegar-legar di kalangan masing-masing kecuali pada musim-musim pilihan raya, Ramadan merupakan peluang bagi mereka untuk terjun ke dalam masyarakat.
Pada bulan ini, umat Islam lebih terbuka. Sempadan dan tembok pemisah di antara mereka telah runtuh. Tidak ada yang akan menolak sebarang sumbangan sama ada kurma, bubur lambuk atau juadah-juadah lain yang dihulurkan. Masjid dan surau penuh sesak. Perbezaan politik di antara mereka seolah-olah telah lenyap. Prejudis yang wujud selama ini juga bagai telah dirantai sepertimana iblis dan syaitan. Inilah keindahan Ramadan yang tiba-tiba menukar sikap manusia. Dari yang alpa kepada yang sedar. Dari yang bakhil kepada pemurah. Dari yang berseteru kepada yang bersahabat.
Umat Islam yang hanya mendambakan ketenangan dan kedamaian sudah tentu mengalu-alukan suasana ini. Mereka mengimpikan kesejahteraan ini akan berkekalan. Tiada apa yang mereka harapkan kecuali keredhaan yang Maha Esa. Tetapi ketenangan ini bakal diganggu apabila muncul mereka yang sarat dengan agenda peribadi. Kepentingan ummah tidak lagi menjadi keutamaan. Kepentingan diri mengatasi segala-galanya. Umat Islam perlu meneruskan semangat Ramadan dan ukhwah yang terbentuk. Mereka perlu menolak mereka yang hanya mahu menyelamatkan batang tengkuk mereka. Biarkan mereka dirantai seperti penghasut sepanjang zaman itu.
DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Bendahari PAS Pusat – HARAKAHDAILY 6/4/2022




















