Pelancong diangkut percuma dari hotel ke Madinah Ramadan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Pelancong yang bertandang ke Kota Bharu sempena Ramadan berpeluang menunaikan solat tarawih di Madinah Ramadan di Dataran Warisan pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV.

Mereka disediakan pengangkutan percuma ke Madinah Ramadan dari tujuh hotel yang berdaftar dengan Pusat Penerangan Pelancongan Negeri (TIC).

Hotel terbabit iaitu The Grand Renai, Hotel Perdana, H Elite Design, Jewels Hotel, Ibis Hotel, Grand River View dan Holiday Villa.

- Advertisement -

Exco Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan, Mejar (B) Dato’ Md Anizam Ab Rahman berkata, kemudahan itu disediakan bagi membolehkan pelancong merasai pengalaman bertarawih di Madinah Ramadan.

Katanya, program tersebut merupakan salah satu agenda Program Ramadan @ Kelate 2022 yang bertema ‘Kelate dihatiku’ yang berlangsung sepanjang Ramadan.

“Objektifnya untuk mempromosi keunikan dan kemeriahan Ramadan di Kelantan kepada pelancong dari negeri-negeri lain.

“Di samping itu secara tidak langsung dapat membantu meningkatkan ekonomi penduduk tempatan dan mengukuhkan persaudaraan sesama Islam,” katanya selepas perasmian Bazar Siti Hawa dan Lukisan Dinding di Mydin Mall Tunjong semalam.

Sebelum ini ada pelancong dari luar Kelantan tinggal beberapa minggu di Kota Bharu dengan menginap di hotel dan apartment untuk menunaikan solat tarawih di Madinah Ramadan.

Malah ada kumpulan pelancong dari Singapura bertandang ke Kelantan turut berkunjung ke Madinah Ramadan.

Madinah Ramadan yang mula dibuka malam 1 Ramadan lepas turut menganjurkan Program Daurah Al Quran Madinah Ramadan.

Program tersebut bermula 1 hingga 29 Ramadan menampilkan tokoh pengkuliah tafsir al Quran terkemuka Kelantan yang bermula jam 9 pagi hingga 1 petang.

Tadarus Al Quran diketuai Sheikh Hesyam Abdel Bari dari Pertubuhan Akademi Al Quran dan ditafsir pengkuliah jemputan. – UPKN

- Advertisement -