Masalah air dan bencana banjir Kelantan: Makin sirna?

- Advertisement -

MASALAH perkhidmatan bekalan air dan bencana banjir antara paling selera dijadikan menu oleh politikus untuk menghidangkan persepsi negatif terhadap Kelantan. Walhal sejak tahun 1990, hanya kerana rakyat Kelantan mengangkat PAS untuk memerintah, negeri ini telah dianaktirikan dan dihadap pelbagai tekanan politik. 

- Advertisement -

Manakala untuk rakyat di luar dari negeri ini, ditanamkan doktrin propaganda persepsi jahat kononnya Kerajaan Negeri Kelantan tidak tahu memerintah atau terlalu lemah. Wajah cantik negeri Cik Siti Wan Kembang ini dipalit imej berkedut, kolot, mundur dan pelbagai keburukan lain.

Semua orang dibawa untuk sentiasa mengejek, mengecam, menghina dan merendah-rendahkan Kelantan dan segala isi negeri serta warganya. Gambaran hodoh seperti itu sudah memadai untuk ramai bersangka, menjauhi, sinis dan skeptikal terhadap Kelantan.

Ironinya, masalah perkhidmatan bekalan air dan bencana banjir juga berlaku di negeri-negeri yang disusui Kerajaan Pusat. Semua negeri diberi peruntukan pembangunan, geran dan pinjaman sekurang-kurangnya menerusi Kementerian Kewangan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli serta Kementerian Alam Sekitar dan Air. 

Semuanya berjumlah berbilion ringgit tidak termasuk lagi menerusi Rancangan Malaysia (RMK), Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan Pihak Berkuasa Koridor. Di mana sepatutnya dengan jumlah diterima, maka kemudahan asas terpenting ini tidak menjadi isu di negeri-negeri terbabit. Malang sekali kebanyakannya berlaku sama seperti Kelantan.

Lembah Klang menjerit

Memadai dilihat nasib menimpa kebanyakan kawasan di Lembah Klang sebagai kawasan termaju negara yang dalam dekad ini kerap kali mengalami isu terputus bekalan air bersih. Begitu juga banjir kilat yang sebenarnya sejak 1970-an lagi menimpa, termasuk kawasan-kawasan penting seperti Shah Alam dan Kuala Lumpur. 

Kenapa projek Loji Rawatan Air (LRA) dan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) kepada seluruh Lembah Klang masih tidak mampu menangani isu ini? Ramai akhirnya sedar betapa ‘kuasa politik’ tidak berdaya mendepani kerakusan pembangunan oleh kapitalis dan cuaca ekstrem akibat perubahan iklim ciptaan Tuhan. 

Malah, mutakhir ini melarat kepada tragedi tanah runtuh yang juga diakibatkan oleh pembangunan dan cuaca ekstrem. Semua mangsa menanggung beban dan trauma tidak sedikit oleh kecederaan atau kehilangan nyawa, bahkan kerosakan atau kemusnahan aset harta benda.

Syukurlah, denyut keprihatinan rakyat Malaysia termasuk kerajaan yang sedang memerintah kini tertumpah kepada tragedi untuk turut bersolidariti dengan mangsa. Simpati menerusi pelbagai bantuan dan inisiatif dihulurkan kerana adanya rasa tanggungjawab dan kemanusiaan.

Jika nurani sama tidak dimanipulasi sejak dahulu terhadap Kelantan dan rakyatnya, tentulah mereka tidak ‘sendirian’ menghadapi isu perkhidmatan bekalan air dan bencana banjir. Tetapi kerana perbezaan politik, Kelantan diabaikan dari keperluannya untuk membina atau menaik taraf LRA dan mengadakan RTB.

Kesungguhan penyelesaian

Menurut Kementerian Alam Sekitar dan Air, Kelantan memerlukan RM7.3 bilion bagi mengatasi masalah perbekalan air dan bencana banjir. Ia dijangka dapat memenuhi secara menyeluruh untuk 40 tahun dan mencegah bertahan daripada limpahan air atau banjir dihadapi.

Sebagai imbasan semula, Kelantan sejak tahun 1990, hanya pada tahun 2001 barulah diberi pinjaman mudah daripada Kerajaan Pusat sebanyak RM600 juta. Itupun untuk 5 tahun dan pemberian pinjaman oleh Putrajaya itu tidak sebagaimana jadual dirancang. Kesannya, Kelantan tetap sukar menangani isu air dihadapinya. 

Sedangkan 4,491 kilometer daripada keseluruhan 8,139 kilometer jajaran paip perbekalan air Kelantan sudah sangat uzur dan memerlukan pembaikan atau penggantian segera.

Manakala, banjir yang berlaku setiap tahun adalah disebabkan bentuk muka bumi dan faktor cuaca. Terutama peralihan angin Monsun Timur Laut yang menjadi punca kepada taburan hujan lebat antara bulan Oktober hingga Disember.

Setidak-tidaknya dua masalah ini bukan berpunca daripada ketirisan atau penyelewengan peruntukan. Bukan juga disebabkan faktor ketamakan pembangunan yang membawa impak negatif sebagaimana berlaku di negeri lain, khususnya Lembah Klang. 

Alhamdulillah, perubahan pemerintahan Kerajaan Pusat telah mengembalikan semangat Persekutuan di kedudukannya. Dikuatkan lagi peranan Ahli-ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat daripada Kelantan bersuara di Parlimen hingga menatijahkan perhatian diberikan.

Hasilnya peruntukan sebagaimana adil diberikan kepada negeri lain, kini juga diluluskan untuk Kelantan dan rakyatnya yang juga membayar cukai. Setakat ini daripada peruntukan diluluskan, projek naik taraf dan pembinaan baharu LRA termasuk penggantian aset air berkaitan begitu giat berlangsung. 

Diunjurkan sebanyak 1,100 juta liter sehari yang akan memenuhi keperluan kepada 90 peratus penduduk Kelantan dapat diberikan menjelang tahun 2030. Manakala projek RTB melibatkan Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) akan menangani impak banjir di jajahan Tumpat, Pasir Mas dan Rantau Panjang.

Kerajaan Negeri Kelantan pimpinan Menteri Besar, Dato’ Ustaz Ahmad Yakob juga ternyata menunjukkan komitmen pihaknya mengatasi masalah ini. Antaranya terbaharu adalah meluluskan peruntukan RM49 juta bagi meningkatkan kapasiti kemampuan beberapa LRA dan RM10 juta dalam menangani impak banjir dalam jajahan Kota Bharu. 

Insya-Allah isu bekalan air dan bencana banjir semakin sirna daripada Kelantan, sebaliknya dapat dilihat adalah sinar bulan yang semakin terang. 

NAZMAN CHE IBERAHIM
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 4/4/2022

- Advertisement -