
KUWAIT: Seorang pendaki gunung Kuwait telah menempah nama sebagai manusia termuda di dunia berjaya menawan tujuh puncak gunung berapi.
Yousef Al Refaie mecatat Rekod Dunia Guinness untuk pencapaian luar biasa itu apabila dia berjaya mendaki sehingga ke puncak gunung berapi tertinggi di tujuh benua seluruh dunia pada usia 24 tahun dan 119 hari.
“(Jika) anda berasal dari negara padang pasir, saya tidak fikir anda (akan) dapat mendaki gunung (berapi) tertinggi,” ulasnya mengenai pencapaian berkenaan.
Bukan sahaja berjaya mencatat rekod pada usia 24 tahun, Al Refaie juga merupakan orang ke-24 berjaya membuat pencapaan tersebut, dengan memulakan perjalanannya sebagai pelancong pada 30 Disember 2015 apabila dia mendaki Gunung Kilimanjaro di Tanzania.
Dia kemudian mendaki sehingga ke puncak Gunung Elbrus di Rusia pada 18 Julai 2017, Gunung Giluwe di Papua New Guinea pada 21 Julai 2018, dan Pico de Orizaba di Mexico pada 6 Januari 2019.
Seterusnya dia berjaya menawan puncak Gunung Damavand di Iran pada 11 Ogos 2019 sebelum diikuti Ojos Del Salado di Andes pada 15 Januari, 2020 dan akhirnya yang ketujuh, Gunung Sidley di Antartika pada 22 Disember 2021.
Menurutnya yang mendaki sekumpulan pendaki lain, puncak yang paling sukar didakinya ialah Gunung Sidley yang merupakan gunung berapi tidak aktif setinggi 4,285 meter di Marie Byrd Land Antartika, iaitu salah satu kawasan tidak berpenghuni terbesar di dunia.

Secara keseluruhan, kos yang dibelanjakan Al Refaie dalam pendakiannya di tujuh puncak gunung berapi di tujuh benua berlainan itu mencecah AS$60,000 (RM252,690).
“Kami dapat melihat cahaya matahari, tetapi suhu sekitar -35˚C,”katanya.
Setiap ahli pasukan membawa makanan mereka sendiri dan walaupun makan sekurang-kurangnya tiga kali sehari, berat badan mereka sentiasa menurun.
“Kami membawa 27 hidangan untuk setiap satu perdakian. Berat bahan makanan sahaja mencecah kira-kira 10 kilogram secara keseluruhan. Ia terutamanya merupakan makanan dehidrasi yang tinggi kalori,” jelasnya.
Sebelum ini, ujar Al Refaie, dis telah cuba memecahkan rekod pendakian terpantas di puncak tertinggi Semenanjung Arab iaitu di Yaman, tetapi seperti pencabar lain, dia tidak dibenarkan memasuki negara yang sedang berada dalam pergolakan politik dan peperangan itu.
Tidak putus semangat, dia kini berazam mahu menyeberangi padang pasir panas terbesar di dunia, Gurun Sahara pada keluasan 3,630,000 batu persegi di Afrika menjelang awal bulan November depan.
“Ketika masih kanak-kanak, saya beritahu ibu, saya mencatat Rekod Dunia Guinness. Ibu saya lalu memberitahu agar membuat pencapaian berkenaan jika saya mempunyai sesuatu yang menakjubkan untuk dilakukan.
“Saya benar-benar tidak tahu sama ada ibu serius atau bergurau dengan saya ketika itu, tetapi apa yang saya beritahu dia itu kini menjadi kenyataan,” ujar Al Refaie. – The National News




















