
SHANGHAI: Walaupun penduduk di banyak bahagian dunia termasuk Malaysia sudah kembali ke pejabat dan anak-anak pula sudah boleh ke sekolah, namun sekatan berterusan sebaliknya berlaku di seluruh China ketika negara itu sedang bergelut untuk membendung wabak Covid-19 selaras dengan dasar Covid-sifarnya.
Ini sudah tentu menyebabkan golongan ibu bapa di negara itu menghadapi cabaran dan tekanan yang biasa yang dihadapi oleh kebanyakan daripada kita sepanjang tempoh pandemik Covid-19 – terus bekerja sambil ‘berkurung’ di rumah sambil menguruskan persekolahan dalam talian untuk anak-anak.
Sehubungan itu, beberapa hotel mewah di bandar-bandar besar China telah meningkatkan untuk menawarkan penyelesaian terhadap perkara itu, apa yang dikenali sebagai ‘Studycations’.
Pakej paling berprofil tinggi ialah Mandarin Oriental Pudong di Shanghai, yang telah memperkenalkan Pakej Studycation dengan kos RMB5,900 (RM3,900) seminggu.
Hotel mewah terkenal itu menerima untuk menjaga pelajar berumur tujuh hingga 16 tahun, dari Isnin hingga Jumaat. Kadar itu termasuk tiga kali makan setiap hari dan seorang butler yang akan menyelia persekolahan dalam talian.
“Selepas kerajaan perbandaran Shanghai mengeluarkan dasar baharunya bahawa semua pelajar perlu tinggal di rumah untuk persekolahan dalam talian mulai 12 Mac lalu berikutan wabak Omicron baru-baru ini, kami telah menyaksikan maklum balas daripada masyarakat kita dan memahami betapa sukarnya buat golongan ibu bapa yang terpaksa bergelut antara kerja dan anak-anak mereka,” kata Pengarah Komunikasi Mandarin Oriental Pudong, Shanghai, Cecilia Yang.

Menurutnya, sejak dua tahun lalu pihaknya telah mempromosikan idea pakej ‘staycation’ dan ‘workation’ apabila orang ramai tidak lagi dapat melancong dengan bebas seperti dahulu.
“Justeru kali ini, kenapa tidak sediakan sesuatu untuk golongan anak-anak?” ujarnya.
Kakitangan hotel itu berkata, kanak-kanak boleh mendapat manfaat daripada persekitaran yang tenang dan penyeliaan semasa waktu e-pembelajaran di bawah jagaan mereka.
“Sejak melancarkan promosi pada 16 Mac lalu, lebih 10 pakej telah dijual. Kumpulan pertama tetamu mendaftar masuk pada Isnin, 21 Mac lepas,” kata Yang.
Tambah beliau, maklum balas daripada kedua-dua ibu bapa dan anak-anak mereka setakat ini sangat positif.
“Kami melihat banyak siaran media sosial daripada keluarga. Dan kanak-kanak itu juga menggelarkan diri mereka sebagai ‘peminat kecil’ selepas tinggal bersama kami selama lima hari,” jelasnya.

Prosedur staycation kata Yang lagi, memerlukan orang dewasa mesti hadir jika kanak-kanak diperlukan bermalam di hotel. Jika tidak boleh, ibu bapa boleh menghantar anak setiap hari selepas jam 7 pagi dan menjemput mereka sebelum jam 8 malam.
“Jika ibu bapa memutuskan untuk menyertai anak-anak mereka untuk belajar, mereka boleh mengambil cuti sehari dan menikmati spa dengan diskaun,” ujar beliau.
Beberapa hotel mewah di bandar Nanjing turut menawarkan pakej yang serupa. Hotel Purple Palace Nanjing, yang terletak di kawasan pinggir bandar Gunung Zijin, menawarkan bantuan dengan kerja rumah dan aktiviti tambahan seperti kelas golf atau kelas ukiran patung doh beras tradisional Cina, sekiranya cuaca tidak sesuai untuk bermain golf.
Jurucakap hotel itu dipetik oleh sebuah akhbar wilayah Cina sebagai berkata bahawa mereka telah mengalu-alukan seorang remaja berusia 13 tahun yang sangat menikmati pengalaman itu sehingga ibu bapanya teruja untuk melanjutkan pengalaman setengah hari kepada penginapan bermalam.
Sementara itu, hotel mewah Suning Universal yang terletak di pusat bandar Nanjing, juga dilaporkan menawarkan untuk menjaga dan membimbing kanak-kanak. Tangkapan skrin siaran yang dikongsi secara meluas di Wechat, platform media sosial yang popular di China, mempromosikan perkhidmatan ‘satu kanak-kanak, satu bilik hotel’.
“Ibu bapa tidak perlu risau tentang (anak mereka) semasa mereka bekerja. Hotel boleh meningkatkan pendapatan mereka,” ujarnya.

Pada masa istimewa ini, kualiti hotel tidak hanya bergantung pada penilaian dalam talian, tetapi juga penilaian sekolah,” kata jurucakap hotel tersebut sambil menegaskan bahawa pasukan teknologi maklumat (IT) ada untuk memastikan sambungan internet berjalan lancar di hotel berkenaan.
“Kakitangan bilik hotel kami membuat pengawasani apabila kanak-kanak membuat kerja rumah. Kakitangan sumber manusia kami pula membantu membuat susulan tentang kemajuan kerja sekolah.
“Pasukan F&B dalam pada itu akan memastikan pemberian makanan tepat pada masanya. Pasukan keselamatan pula akan memastikan pengasingan selamat buat kanak-kanak.
“Selepas kerja sekolah selesai, terdapat juga pasukan concierge yang akan membawa kanak-kanak itu keluar untuk bersenam. Terdapat juga pasukan pemasaran yang akan bertanggungjawab merakam video apabila kerja sekolah mereka selesai,” jelasnya.
Jurucakap hotel itu mengesahkan kepada media tempatan bahawa perkhidmatan itu berjalan setiap hari dari jam 8 pagi hingga 6 petang dengan harga RMB350 (RM232) sehari.
Sehubungan itu, beberapa ulasan berita tempatan menunjukkan bahawa untuk industri hotel di China bertahan dalam sekatan susulan pandemik Covid-19, ia mesti kreatif, selagi ia tidak melanggar undang-undang. – CNN




















