Filem sejarah Raja Melewar perlu direstorasi

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertua Dewan Negara, Senator Tan Sri Dr Rais Yatim, mencadangkan filem sejarah, Raja Melewar, karya arahan Allahyarham Jamil Sulong, direstorasi dalam bentuk digital.

Ini berdasarkan jalan cerita yang dipaparkan dalam filem terbitan tahun 1998 itu, Raja Melewar layak untuk dijadikan sebagai suatu khazanah sejarah yang boleh dirujuk generasi akan datang.

- Advertisement -

Sehubungan itu, Dr Rais berkata, proses restorasi filem Raja Melewar boleh dilakukan dengan pembabitan pelbagai agensi termasuk Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Seniwati Negara, Dato’ Rosnani Jamil di Parlimen, semalam.

Pertemuan singkat itu dilakukan bagi membincangkan usaha merestorasi filem Raja Melewar yang menggalurkan semula sejarah Diraja Negeri Sembilan yang bermula dari Pagaruyung Minangkabau pada awal abad ke-18 dan hubungan dengan Siak dan Riau.

Filem itu menceritakan sejarah Negeri Sembilan yang tidak mempunyai pemimpin ketika itu dan menghadapi kekacauan dalam pentadbiran negeri hingga terpaksa menoleh kepada kerajaan Pagaruyung untuk mendapat seorang raja.

Pagaruyung kemudian mengirimkan anak raja Minangkabau, Tengku Mahmud (lakonan Datuk Seri Eizlan Yusuf) ke Negeri Sembilan untuk ditabal sebagai raja (Yamtuan Besar).

Kisah dalam filem ini diisi dengan beberapa konflik kecil antara Penghulu Naam (Allahyarham Aziz Jaafar) dengan Sutan Karo (Shaharuddin Thamby) dan juga gangguan dari sekumpulan lanun yang cuba mengambil kesempatan untuk menabalkan Raja Khatib.

Tengku Mahmud akhirnya berjaya ditabalkan sebagai Yamtuan Besar (kini Yang di-Pertuan Besar) dan diberi nama Raja Melewar. – HARAKAHDAILY 1/4/22

- Advertisement -