
KIEV: Kedutaan Arab Saudi di Ukraine memohon pihak berkuasa Ukraine membebaskan seorang warga Saudi yang ditahan di negara itu.
Dalam satu kenyataan pada Isnin (28 Mac), kedutaan itu berkata bahawa ia telah mengemukakan permintaan rasmi melalui Kementerian Luar Negeri Ukraine kepada Kementerian Kehakiman Ukraine untuk membebaskan warga Saudi yang ditahan di Ukraine itu.
“Kami mengikuti rapat kes warga Arab Saudi itu dari tarikh penahanannya pada 11 Ogos 2021 oleh pihak polis Ukraine.
“Peguam bagi warga Saudi yang ditahan itu untuk membelanya juga sudah dilantik dan memastikan semua keperluannya diperoleh di dalam penjara,” ujar kenyataan tersebut.
Kenyataan kedutaan Saudi itu dibuat selepas apa yang dilaporkan dalam media sosial baru-baru ini berhubung kenyataan warga Arab Saudi itu mengenai keadaannya di penjara di Ukraine.
Kedutaan itu juga berkata bahawa ia sedang berhubung secara intensif dengan pihak berkuasa Ukraine untuk memastikan keselamatan warga Arab Saudi itu, di tengah konflik perang yang sedang dilalui oleh Ukraine ketika ini.
“Kes warga Saudi itu yang ditahan di Ukraine itu ketika ini mempunyai isu keselamatan dan sangat rumit,” kata kedutaan itu.
Difahamkan, waran tangkap sebelum ini telah dikeluarkan terhadap warga Arab Saudi itu oleh Pertubuhan Polis Jenayah Antarabangsa (Interpol) kerana dikehendaki oleh salah sebuah negara.
“Waran tangkap terhadap isu warga Saudi masih belum selesai dengan pihak berkuasa kehakiman Ukraine,” kata kenyataan kedutaan itu.
Kedutaan Saudi juga mengesahkan bahawa ia masih meneruskan usaha untuk mencari cara terbaik untuk memastikan keselamatan warga Saudi berkenaan. – Saudi Gazette




















