
Oleh SARINA ISMAIL
ALOR SETAR: Aksi Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam perlawanan bola sepak persahabatan menarik perhatian netizen dan orang ramai.
Malah, hantaran video aksi menarik Adun Jeneri itu di aplikasi Tik Tok turut mendapat view tinggi mencecah puluhan ribu.
Perlawanan persahabatan tersebut pada malam kelmarin antara pasukan veteran Menteri Besar Kedah dengan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kedah mempamerkan Sanusi menjaringkan gol kemenangan pasukannya 1-0.
Gol kemenangan itu menerusi sepakan penalti pada separuh masa ke dua sempena majlis Perasmian Penutup Piala Ketua Polis Kedah 2022 sempena Peringatan Hari Polis ke-215.
Sanusi yang juga Presiden Bola Sepak Kedah (KFA) beraksi cemerlang secara tidak langsung mempamerkan kebolehannya dalam sukan bola sepak.
Perlawanan berkenaan diadakan di Stadium Darul Aman turut memperlihatkan aksi menarik menteri besar ketika sepakan jarak jauh sehingga ada ketikanya menggegarkan tiang gol pihak lawan. – HARAKAHDAILY 29/3/2022











