
KERAJAAN perlu melaksanakan langkah-langkah yang lebih efektif dan holistik untuk jangka pendek dan panjang dalam menangani isu pembuangan sisa makanan yang begitu kritikal berlaku di Malaysia.
Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) meramalkan peratusan sisa makanan di tapak pelupusan akan meningkat terutama di bazar Ramadan sebanyak 40 peratus ekoran pembukaan bazar di seluruh negara pada tahun ini.
Perkara ini dilihat sangat mendukacitakan apabila sebanyak 17 juta kilogram sisa makanan daripada 38 juta kilogram sisa pepejal yang dibuang setiap hari iaitu bersamaan dengan tujuh buah kolam renang Sukan Olimpik.
Pereputan sisa makanan menyebabkan penghasilan Greenhouse Gas (GHG) dan secara tidak langsung menjadi faktor pemanasan global berlaku. Tambahan lagi, tapak pelupusan sisa juga antara punca utama penghasilan gas metana yang merupakan antara gas perosak lapisan ozon yang utama berbanding gas karbon dioksida.
Justeru, kerajaan perlu menyemak semula dari segi dasar, polisi dan pelan pembangunan serta pengurusan sisa makanan agar relevan dengan isu-isu yang berlaku pada hari ini dan mendapat jalan penyelesaian yang lebih inklusif. Tambahan lagi, penyelidikan dan inovasi dengan kerjasama pemain taruh untuk mengolah sisa makanan terbuang menjadi baja organik untuk pertanian juga perlu diperkasakan lagi.
Memandangkan peningkatan peratus sisa makanan adalah semasa di bulan Ramadan, kempen dan progam seperti Kempen Hargai Makanan, Elak Pembaziran perlu diperhebatkan di seluruh negara bagi memberi kesedaran kepada masyarakat untuk menghargai makanan dan tidak sewenangnya melakukan pembaziran.
Allah S.W.T menyifatkan orang-orang yang suka membazir itu sebagai saudara syaitan. Seperti mana firman-Nya dalam surah al-Isra’ayat 27 yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang-orang yang melakukan pembaziranMu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.”
(al-Isra’: 27)
Saya berharap kerajaan akan lebih banyak mengadakan pendekatan secara proaktif bagi memastikan isu pembuangan sisa makanan yang kritikal dapat diselesaikan sekaligus mendidik masyarakat untuk lebih menghargai makanan.
“Islam Menyatukan Ummah”
YB CHE ALIAS HAMID
Ahli Parlimen Kemaman – HARAKAHDAILY 29/3/2022











