Penghasilan vaksin Covid-19 tempatan patuhi piawai

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Setiap langkah penghasilan vaksin Covid-19 tempatan mematuhi peraturan dan piawaian Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan peringkat antarabangsa.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim, berkata dua jenis vaksin Covid-19 sedang dibangunkan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) menggunakan peruntukan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan SUKUK PRIHATIN dalam lingkungan RM3.4 juta.

- Advertisement -

Katanya, vaksin pertama ialah vaksin dilemahkan yang kini di peringkat kajian praklinikal bagi tujuan pembuktian konsep yang bermula pada Februari tahun ini dan dijangka siap pada Julai akan datang.

“Selepas itu, analisis data akan dijalankan dan dijangka berakhir pada Disember 2022,” katanya menjawab soalan lisan Senator Datuk Paul Igai di Dewan Negara, hari ini.

Soalannya yang sama turut ditanya oleh Senator Ir Ts Haji Khairil Nizam Khirudin, Senator Lim Hui Ying dan Senator Dato’ Dr Nuing Jeluing, iaitu sejauh manakah proses pembuatan vaksin Covid-19 tempatan setakat ini dan apakah senarai vaksin yang sudah dibuat dan dikomersialkan oleh Malaysia sekarang.

Ahmad Amzad berkata, vaksin kedua menggunakan teknologi vaksin mRNA, kini berada di peringkat makmal, iaitu in-vitro transcription ke atas sel kultur pertama yang bermula pada Jun 2021 dan dijangka siap pada Disember tahun ini.

“Jika pembuktian konsep kedua-dua vaksin ini berjaya, pelaksanaan penghasilan vaksin ini akan diteruskan melalui makmal yang telah diakreditasikan sebagai Amalan Makmal Baik (GLP) dan Amalan Pengeluaran Baik (GMP),” katanya.

Menurunya, dua jenis vaksin berkenaan belum boleh dikomersialkan kerana perlu menjalani proses penyelidikan dan pembangunan (R&D), kajian praklinikal, kajian klinikal dan pengilangan.

Sementara itu, katanya Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) giat mengambil tindakan mengikut perancangan untuk memajukan penyelidikan vaksin Covid-19 dengan mewujudkan Pejabat Pengurusan Projek Pembangunan Vaksin Malaysia dan memuktamadkan spesikasi teknikal perolehan peralatan makmal bertaraf GLP dan GMP oleh Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI).

Di bawah MOSTI, katanya terdapat dua projek penyelidikan berkaitan Covid-19 yang dibiayai melalui MOSTI Combating Covid-19 Fund (MCCOF) dan dua projek penyelidikan di bawah Geran Penyelidikan Strategik (SRF).

Katanya, projek pertama di bawah MCCOF ialah `Development of Modular Muccosal Vaccine Platform Using Generally Regarded As Safe (GRAS) Bacteria Against Covid-19′ oleh Profesor Dr Sazaly Abu Bakar dari Universiti Malaya dengan pembiayaan sebanyak RM2.23 juta.

“Projek kedua ialah `Construction of Recombinant Newcastle Disease Virus Expressing Receptor Binding Domain (RBD) Protein of SARS-CoV-2 Virus as a Vaccine Candidate’ oleh Profesor Datin Paduka Dr Khatijah Mohd Yusoff dari Universiti Putra Malaysia dengan pembiayaan sebanyak RM2.7 juta,” katanya.

Beliau berkata, projek penyelidikan di bawah SRF ialah `Development of an oral vaccine against Covid-19, using an attenuated Vibrio Cholerae strain’ dengan pembiayaan sebanyak RM1.057 juta yang disalurkan pada Disember tahun lalu.

Katanya, projek ini akan dilaksanakan mulai tahun ini hingga 2024 dan dilaksanakan oleh Universiti Sains Malaysia bersama Universiti AIMST dan akan melaksanakan R&D calon-calon yang menerima vaksin oral melawan Covid-19 menggunakan strain Vibrio Cholerae yang dilemahkan. – HARAKAHDAILY 28/3/22

- Advertisement -