
BELGRADE, Serbia: Ketika Rusia melancarkan perang ke atas Ukraine, Hungary membuka sempadannya kepada puluhan ribu pelarian warga Ukraine. Namun, pelarian yang bukan warga negara itu sebaliknya dibiarkan tanpa bantuan di sebuah ladang di Serbia.
Ini kisah sedih seorang siswa Afghanistan yang telah belajar di Hungary selama tiga tahun, Hasib Qarizada. Selepas politik negara asalnya bergolak Ogos tahun lalu, Qarizada cuba mencari suaka di Hungary.
Namun enam bulan lalu, pihak berkuasa membawa Qarizada ke sempadan negara jirannya, Sebia lalu ‘menendang’nya ke negara yang begitu asing buat dirinya.
“Polis Hungary datang kepada saya seolah-olah saya penjenayah dan mengatakan kepada saya agat jangan cuba melarikan diri, jangan cuba membuat onar dengan mereka dan jangan lakukan perbuatan bodoh,” dedah ata Qarizada kepada The Associated Press (AP) di Beograd, ibu kota Serbia.
Dia ditinggalkan bersendirian di sebuah ladang di Serbia tanpa seorang pun mengetahui tentang perkara itu. Qarizada yang berusia 25 tahun itu tidak tahu di mana dia berada, ke mana dia harus pergi atau apa yang harus dilakukannya.
“Saya adalah seorang mahasiswa, dan mereka memberikan hidup saya perubahan yang sama sekali berbeza.
“Mereka tidak memberikan saya kesempatan untuk mengambil pakaian, charger telefon, atau laptop saya atau apa pun yang penting yang saya perlukan sebelum dihalau dari Hungary,” luahnya, dalam kesedihan.
Qarizada memaklumkan bahawa dia tidak tahu di mana Serbia, bahasa apa yang mereka gunakan, budaya seperti apa yang mereka miliki.
Hungary sebelum ini terkenal sebagai negara yang ‘kejam’ terhadap golongan imigran yang melarikan diri dari perang dan kemiskinan di negara masing-masing (tetapi tidak kepada pelarian Ukraine), dan menurut laporan AP, kes Qarizada merupakan bukti terbaharu sikap jahat negara itu yang menghalau imigran ke negara ketiga yang bukan tempat asal mereka.
Aktivis hak asasi kemanusiaan di wilayah tersebut mendaftarkan kes pertama pada tahun 2017, ketika seorang warga Kurdi berusia 16 tahun dari Irak dihalau ke Serbia dari Hungary meskipun remaja itu pada awalnya memasuki Hungary dari Rom dan sampai ke Austria sebelum ia dihantar semula ke Hungary.
Baru-baru ini, seorang wanita dari Cameroon yang memasuki Hungary dari Rom dihantar ke Serbia pada Desember lalu. Sementara seorang wanita Afrika lain yang terbang dari Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), setahun lalu juga berakhir dihantar ke Serbia.
“Ini adalah sesuatu yang malangnya telah menjadi normal, biasa dan sesuatu yang tidak dapat dianggap tidak biasa,” tegas pejuang hak asasi Serbia, Nikola Kovacevic.
Pengusiran Qarizada menggambarkan perbezaan yang jelas dalam layanan Hungary di antara pelarian warga Ukraine dan pelarian perang yang bukan dari negara-negara Eropah. Hungary kini berada di bwah pemerintahan ayap kanan Perdana Menteri, Viktor Orban.
Sebuah negara di Eropah, Croatia juga didakwa menggunakan kekerasan terhadap golongan imigran yang bukan dari negara Eropah tetapi membuka pintu sempadannya kepada warga Ukraine.
Aktivis hak asasi kemanusiaan justeru memperingatkan tentang sikap diskriminasi terhadap pelarian dan imigran dari Timur Tengah dan Afrika, yang selama bertahun-tahun menghadapi bahaya dan tekanan di sempadan Hungary, Croatia, dan negara-negara Eropah lainnya.
“Bagi kita yang mengikuti masalah ini, sukar untuk menerima kenyataan dalam beberapa minggu ini dengan tanggapan keras negara-negara Eropah terhadap orang-orang yang melarikan diri dari perang dan krisis lain.
“Sejumlah besar orang dari Asia, Afrika dan Timur Tengah meninggal dunia setiap tahun ketika cuba melarikan diri ke Eropah,” ujar aktivis dari Human Rights Watch, Judith Sunderland. – Agensi




















