
Oleh MUHAMMAD ARIS ISMAIL
KOTA BHARU: Pusat Islam di Warsaw Poland yang dikelola NGO Malaysia, Muslim Care dijadikan tempat perlindungan mangsa peperangan Russia dan Ukraine.
Mantan Profesor Pengajian Asia Barat Moden Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Kamaruzaman Yusoff berkata, kisis tersebut memaksa lebih 10 juta penduduk Ukraine meninggalkan kediaman masing-masing.
Katanya, biarpun penduduk beragama Islam Ukraine golongan minoriti, namun bantuan daripada penduduk Malaysia amat diperlukan khususnya ketika lokasi itu tidak mampu menampung peningkatan pelarian.
“Muslim Care mempunyai Pusat Islam di Warsaw Poland, tempat ini dijadikan rumah persinggahan sementara khususnya pelarian Ukraine yang lari daripada negara mereka sedang bergolak.
“Kalau nak bagi bantuan kepada pelarian Ukraiane mereka berada di Poland sekarang,” katanya pada Bicara Siasah dianjurkan PAS Kelantan di sini baru-baru ini. Program itu disiarkan melalui laman Legasi Tok Guru.
Sejak tentera Rusia menceroboh Ukraine 24 Februari lalu, ramai penduduk meninggalkan negara itu untuk mencari perlindungan di negara jiran terutama Poland dan Romania.
Sehingga sekarang tidak lebih 100,000 orang bersesak-sesak di bandar Medyka, kira-kira 300 kilometer dari Warsaw, yang menjadi pintu masuk utama dari Ukraine ke Poland.
Dr Kamaruzaman juga berkata, bagi mengelakan krisis itu terus berlarutan dicadangkan usaha penyelesaian dilakukan bagi menyelamatkan umat Islam di negara terbabit.
Menurutnya pemimpin negara Islam yang berpengaruh termasuk Tun Dr Mahathir Mohamed dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dapat memainkan peranan.
“Dr Mahathir seorang negarawan berpengaruh di luar negara sesuai menjadi orang tengah. Begitu juga OIC dan Liga Arab sepatutnya boleh memainkan peranan mereka,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/3/2022




















