Kekalahan pengundian beri kesan undang-undang dan politik

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Sidang Dewan Rakyat yang berakhir semalam, sejak hari pertama kelihatan seperti sidang-sidang sebelum ini.

Watak-watak dan insiden yang menghangatkan sidang kali ini sama saja seperti sebelum ini dengan isu yang timbul tidak begitu panas. Namun Rabu lalu, insiden yang berlaku bukan sahaja memberi impak yang kompleks, malah boleh dilihat dari pelbagai perspektif.

Gara-gara tidak cukup satu undi, usul untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) untuk tempoh lima tahun lagi gagal diluluskan.

- Advertisement -

Usul itu ditolak selepas keputusan undi belah bahagi menunjukkan hanya 85 Ahli Parlimen menyokong, berbanding 86 Ahli Parlimen tidak menyokong, manakala 49 Ahli Parlimen tidak hadir.

Melihat isu ini dari perspektif usul ini sendiri, apakah kesan kegagalan usul ini diluluskan? Ia menyebabkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak dapat melanjutkan kuat kuasa Subseksyen 4(5) bermula 31 Julai depan.

Subseksyen ini membolehkan polis terus menggunakan kuasa khas untuk melanjutkan tempoh penahanan individu yang ditangkap dan ditahan di bawah SOSMA sehingga 28 hari, tanpa perlu dihadapkan di hadapan majistret.

Tanpa kuat kuasa subseksyen itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) terpaksa menggunakan peruntukan undang-undang sedia ada untuk melaksanakan penahanan bagi kesalahan membabitkan kes keselamatan bersifat kompleks mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) selepas 31 Julai depan.

Mengikut Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, antara kesalahan bersifat kompleks ialah:

“Bab VI Kanun Keseksaan (kesalahan terhadap negara), Bab VIA Kanun Keseksaan (kesalahan berkaitan keganasan), Bab VIB Kanun Keseksaan (kesalahan jenayah terancang), Bab IIIA Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta Akta Langkah Khas Menentang Keganasan Luar Negara 2015.”

Katanya, kes membabitkan kesalahan SOSMA yang disiasat selepas 31 Julai akan menggunakan peruntukan undang-undang sedia ada seperti Kanun Prosedur Jenayah untuk melaksanakan penahanan melalui proses reman di mahkamah.

Namun mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, menyifatkan tanpa kuat kuasa subseksyen itu akan membataskan tindakan polis untuk melengkapkan siasatan kerana Seksyen 117 Kanun Keseksaan hanya membenarkan penahanan tidak lebih 14 hari yang dibenarkan oleh Majistret.

Katanya, penyiasatan kes yang membabitkan keganasan lebih kompleks kerana dilakukan oleh mereka yang bergiat dalam kumpulan dan siasatan menyeluruh perlu dijalankan untuk mengenal pasti identiti serta peranan mereka.

“Tempoh 28 hari juga diperlukan untuk membolehkan pasukan siasatan mendapatkan maklumat keseluruhan mengenai ideologi sesebuah kumpulan terbabit dan matlamat mereka.

“Ini mengambil masa panjang untuk mendapatkan keterangan ahli kumpulan yang diberkas dan siasatan juga perlu menjurus kepada pihak bertanggungjawab yang menaja mereka yang memberi sokongan kepada kumpulan terbabit,” katanya.

Suasana Dewan Rakyat ketika proses undi belah bahagi sedang dijalankan

Hujah Musa senada dengan jawapan Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hamzah Zainudin, ketika membuat penggulungan usul untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5).

Apakah penyelesaian isu ini? Usul ini kini ditangguhkan dan akan dibawa ke mesyuarat akan datang yang dijadualkan pada 18 Julai akan datang. Namun jika diluluskan ketika itu, usul itu perlu diluluskan oleh Dewan Negara yang bersidang pada Ogos.

Ini bermakna akan wujud suatu tempoh selepas 31 Julai akan datang hingga usul itu boleh dikuatkuasakan kembali, polis tidak boleh melakukan penahanan sehingga 28 hari. Jika ada peristiwa besar seperti serangan pengganas Sulu di Sabah sebelum ini, tangan polis terikat sedikit untuk melakukan siasatan yang panjang.

Isu ini juga dilihat dari perspektif Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) yang dikatakan telah dilanggar.

Ahli Parlimen Bagan Datuk yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mendakwa PH memungkiri janji, melanggar persetujuan dan mengabaikan komitmen mereka untuk bekerjasama dengan kerajaan, seperti dimeterai melalui MoU Transformasi dan Kestabilan Politik.

Namun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berpandangan bahawa berdasarkan klausa 4.1 dalam MoU itu yang memperuntukkan perjanjian itu tidak terus tamat jika usul kerajaan tidak disokong.

Berdasarkan Perkara 3.3. (b) MoU, katanya sebarang usul kerajaan atau RUU perlu dirundingi dan dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

“Saya berpandangan berkaitan Perkara 4.1 MOU ini, di mana ia tidak akan tamat secara automatik jika sesuatu usul tidak dipenuhi jika Perkara 3.1-3.3 dalam MOU tidak dipenuhi, dan ia masih terbuka untuk rundingan di antara kerajaan dan pembangkang,” katanya.

Insiden Rabu lalu juga mengingatkan undi belah bahagi pada Julai 2020 apabila Dewan Rakyat, meluluskan usul supaya Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof, mengosongkan kerusi Yang di-Pertua Dewan Rakyat, dengan hanya perbezaan dua undi.

Usul tersebut diluluskan selepas 111 Ahli Parlimen menyokong, manakala 109 menolak.

Bagi mengelakkan insiden Rabu lalu berulang, Ketua Whip parti kerajaan selepas ini juga perlu membuat strategi lebih baik untuk memastikan Ahli Parlimen kerajaan bukan sahaja menghadiri perbahasan mengenai sesuatu isu penting, malah mempunyai bilangan mencukupi jika undi belah bahagi diadakan. – HARAKAHDAILY 25/3/22

- Advertisement -