
Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF
KUALA LUMPUR: Memasang dua unit perangkap kamera di sekitar kawasan Bukit Bauk adalah antara tindakan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) bagi menangani konflik antara manusia dan hidupan liar, terutama harimau di daerah Dungun.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata Bukit Bauk adalah antara kawasan tumpuan rekreasi orang awam dan perangkap kamera membolehkan pemantauan dibuat terhadap kehadiran Harimau Malaya di kawasan konflik.
Menurutnya, PERHILITAN juga akan menambah sebanyak 20 unit lagi perangkap kamera di kawasan sekitar sebagai langkah pemantauan jangka panjang.
“Usaha lain yang dilakukan ialah menempatkan lima kakitangan PERHILITAN Daerah Dungun dan dibantu oleh 13 orang Renjer Hidupan Liar di bawah Program Perlindungan dan Rondaan Biodiversiti (BP3) yang membuat rondaan pemantauan dan siasatan di lokasi aduan,” katanya ketika Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) yang bertanyakan langkah segera kementerian bagi menangani konflik antara manusia dan hidupan liar, terutama harimau kerana kebelakangan ini ‘Pak Belang’ semakin kerap muncul berkeliaran di Dungun.
Takiyuddin berkata, PERHILITAN juga memasang dua unit perangkap harimau di kawasan ladang Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Hulu Paka.
Selain itu, katanya PERHILITAN bekerjasama dengan pihak pengurusan dan pekerja ladang MPOB untuk melaporkan kepada jabatan itu jika ternampak kelibat harimau di kawasan tersebut.
“PERHILITAN turut memberi khidmat nasihat kepada penduduk kampung dan pekerja ladang terlibat supaya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga serta tidak bertindak sendiri dalam menangani konflik harimau di kawasan ini,” katanya.
Sementara itu menjawab soalan tambahan, Takiyuddin menasihat orang ramai supaya segera menghubungi PERHILITAN atau polis jika mendapati harimau berkeliaran di kawasan mereka.
“Sentiasa melindungi diri masing-masing dengan berada dalam rumah atau mana-mana tempat yang diyakini selamat sementara menunggu kehadiran pihak berkuasa,” katanya.
Katanya, penduduk perlu mengelak melakukan sebarang provokasi seperti cuba mendekati atau menembak harimau kerana ini penting bagi memelihara haiwan tersebut yang semakin pupus dan pada masa sama, menjaga keselamatan penduduk. – HARAKAHDAILY 24/3/22




















