
Oleh SYAHIRAH SALLEH
KUALA LUMPUR: Kerajaan mula menanam varieti padi IS21 yang mampu bertahan risiko tenggelam banjir di Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Melaka dan Johor sebagai langkah awal sebelum pelaksanaan menyeluruh ke seluruh negara.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, varieti MR315 keluaran Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) kini di peringkat pelaksanaan percubaan.
“Kita menjangkakan, jika kejayaan ini dicapai dengan baik, kita akan laksanakan dengan cara lebih menyeluruh, iaitu fokus kepada kawasan yang terdedah risiko tenggelam air banjir negara kita, kita cuba kenal pasti sebaik mungkin.
“Varieti baru IS21 dijangka ini bertahan lebih tiga hari, kalau kita tanam padi, terendam air, dia boleh bertahan selama tiga hari, begitu juga vairit MR315 yang dikeluarkan MARDI,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Senator Noraini Idris berhubung tindakan kerajaan dalam berdepan kesan negatif kepada hasil pertanian akibat banjir, di Dewan Negara, hari ini.
Menurut Dr Nik Zawawi, sebagai langkah mengelak ancaman banjir, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) membina dan menaiktaraf infrastuktur tebatan banjir di kawasan pertanian.
Katanya, pada tahun lalu, dua projek disiapkan di LBC Parit Utama Kayan, IADA Seberang Perak, serta di Skim Samarahan Sarawak.
Selain itu katanya, satu projek dalam proses pelaksanaan iaitu di dalam perairan Tebu Hitam, IADA Rompin Pahang dan satu projek dalam proses permohonan bagi pelaksanaan pada RP3 tahun hadapan di Skim Pengairan Paya Sekajang, Rompin, Pahang.
“MAFI juga membuat perolehan pam bergerak bagi kegunaan semasa musim kemarau dan banjir. Pada 2021, perolehan sebanyak 60 pam bergerak, manakala pada 2022, sebanyak 52 pam bergerak.
“Ketiga, MAFI menaik taraf sistem pam di rumah pam sedia ada bagi kegunaan saliran dan tebatan banjir pertanian, satu projek 16 buah rumah pam di AIDA Kemasing Semerak, Kelantan.
“Seterusnya, MAFI membina pintu-pintu kawalan air bagi menyelesaikan masalah air banjir semasa musim tengkujuh selain berfungsi sebagai infrastuktur pengairan,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/2/2022











